Scroll to top

Tuesday, August 31, 2010

LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN




10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Saturday, August 28, 2010

Bantuan Aidilfitri kakitangan awam Rabu



KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk 1.24 juta kakitangan awam sempena Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri, Khamis lalu akan mula dibayar pada Rabu, 1 September ini manakala pesara akan menerima bayaran pada 6 September (Isnin). 

Friday, August 27, 2010

ADAB-ADAB DAN CARA MAKAN YANG BAIK UNTUK KESIHATAN MENURUT PANDANGAN AHLI-AHLI PERUBATAN ISLAM

  1. Makan hanya bila terasa lapar

  2. Basuh tangan dan kuku sehingga bersih dengan air dan seboleh-bolehnya dengan sabun

  3. Sebelum makan hendaklah membaca 'Bismillah..."

  4. Makan dengan tangan sebagai ganti sudu dan garpu. Rasionalnya makan dengan tangan ialah kerana ia dapat membantu penghadaman disebabkan terdapat aliran yang dipanggil 'bio-current' yang apabila tersentuh dengan makanan , ia bertindak sebagai enzim untuk menghadamkan makanan dengan cepat di dalam perut. Ini adalah sebab mengapa makanan yang disentuh dengan tangan cepat rosak atau basi.

  5. Tinggalkan kerja-kerja otak seperti berfikiran lain-lain apabila hendak makan. Badan dan fikiran perlu girang dan tenang

  6. Seboleh-bolehnya dinding bilik makna hendaklah berwarna merah jambu kerana ini boleh mendatangkan rasa girang dan membantu pencernaan

  7. Berhenti makan sebelum kenyang. Kekenyangan yang berlebihan memudaratkan jantung, mengganggu penghadaman dan menyukarkan tidur.

  8. Berehat sekejap selepas makan dan jangan tergesa-gesa membuat sesuatu

  9. Jangan makan makanan lama. Perbanyakkan makan makannan segar. Suri rumah adalah dinasihatkan supaya menyediakan makanan yang segar, sedap,
    berbau lazat, menarik pandangan dan berlainan jenis setiap kali waktu makan.

  10. Suri rumah hendaklah bermanis muka ketika menghidang makannan, memakai pakaian yang bersih dan berwarna indah.

  11. Pastikan dapur bersih dari pembiakan kuman dan menutup makanan dari terdedah

  12. Berpegang pada prinsip 'makan untuk hidup dan beribadah, bukan hidup untuk makan'


                                   

Thursday, August 26, 2010

SABDA JUNJUNGAN MENGENAI AKHIR ZAMAN

Daripada Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhuma berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam berhadap kepada kami (pada suatu hari) lalu beliau bersabda: "Wahai kaum Muhajirin, 5 perkara jika kamu telah ditimpakan bala dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka tiadalah kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah Ta'ala, semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkata itu ialah:
  1. Tidak nampak perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani melakukannya secara terang-terangan, kecuali mereka akan ditimpa penyakit taun yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
  2.  Dan tiadalah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan ditimpakan bala dengan kemarau dan kesusahan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
  3.  Dan tidaklah mereka menahan akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiadalah binatang (yang hidup di permukaan bumi ini) sudah pasti mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Ta'ala.
  4.  Dan tiadalah mereka memungkiri janji Allah dan rasulNya kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka menguasai mereka, maka musuh itu akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
  5.  Dan apabila pemimpim -pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (disaat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri"

Wednesday, August 25, 2010

Formula Bijak Sifir kaedah mengira secara cepat, mudah

Oleh Hazwan Faisal Mohamad


KAEDAH bijak sifir tidak memaksa murid menghafal, sebaliknya pendekatan itu membimbing mereka kepada teknik mudah menguasai sifir dan kebiasaannya masing-masing boleh berbuat demikian dalam tempoh dua hari. 

Formula yang dibangunkan selama tujuh tahun itu kata penulis buku Bijak Sifir, Muhamad Tajudin Mustafa, dilengkapi kaedah berkesan menguasai sifir satu hingga 12 secara sistematik.

Beliau yang juga graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata proses menguasai sifir itu dilaksanakan menerusi sesi bengkel yang menyasarkan murid Tahun Satu hingga Enam selain mempelawa mereka berminat menyertainya.

Katanya, setakat ini, peserta bengkel memberi maklum balas positif dan mereka hanya menguasai sifir menerusi teknik pembelajaran berkesan. Kaedah Bijak Sifir itu membantu mereka memahami konsep pengiraan secara mudah dan cepat. 

“Syarat asas peserta bengkel adalah dalam kalangan murid sekurang-kurangnya mengenali nombor dan mahir dalam operasi penambahan,” katanya. 

”Sejak dilancarkan dua bulan lalu, tujuh sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Coronation Park, SK Sumpitan, SK Temelong, SK Convent Aulong, SK St Francis, SK Banggol Belimbing dan SK Parit dari Perak menyertai program berkenaan,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Muhamad Tajudin, berkata idea menghasilkan formula itu tercetus berikutan fenomena pelajar lemah dalam mata pelajaran matematik sering dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai sifir dengan baik. 
Beliau berkata, kaedah konvensional yang dilaksanakan tidak berkesan hingga mendatangkan tekanan kepada mereka. 

Katanya, kaedah sedia ada juga memaksa murid menyanyi dan menjatuhkan hukuman jika gagal berbuat demikian. Keterangan lanjut teknik menguasai sifir boleh layar laman web, www.bijaksifir.com.my. 

sumber : Berita Harian

                                                         

Sunday, August 22, 2010

Membina komunikasi berkesan


KADANG-KADANG setengah perkataan yang diucapkan oleh ibu bapa kepada anak remaja tidak dapat diterima dengan baik. Malah mengundang banyak masalah, terutamanya anak-anak remaja yang sedang bermasalah.

Kebanyakan ibu bapa tidak tahu apa harus dilakukan apabila anak-anak remaja mereka datang dengan masalah atau perasaan.

 Setengah ibu bapa langsung tidak membantu memainkan peranan sebagai kaunselor atau sesetengah itu langsung tidak mahu berperanan sebagai pembantu atau kaunselor kepada anak mereka sendiri.
Apabila anak remaja mendapati ibu bapa mereka tidak peka dengan masalah mereka, maka mereka akan mencari alternatif sama ada merujuk kepada guru atau kaunselor di sekolah.

Ada juga yang akan mencari rakan baik atau memasuki mana-mana laman sosial dengan harapan ada insan yang prihatin akan membantu melegakan tekanan yang dihadapi.
Ibu bapa mempunyai dua alasan yang lumrah digunakan iaitu merasakan tidak pandai atau tidak berupaya untuk menangani masalah remaja dan kedua, merasakan apa yang diperkatakan sentiasa tidak diterima oleh anak remaja mereka.

Mengikut kajian dan juga maklum balas daripada remaja, didapati ramai ibu bapa menggunakan bahasa yang kurang tepat dan kurang senang diterima.
Terdapat banyak mesej yang tidak boleh diterima yang diguna pakai oleh ibu bapa dan di sini dapat dikategorikan kepada 12.

Kesemua 12 jenis mesej ini merupakan halangan kepada komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak remaja. Ia boleh memperlahankan, atau menyekat proses komunikasi dua hala antara anak dan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi remaja.
Terdapat juga tiga kategori mesej yang dianggap sebagai menghukum, menilai, menjatuhkan atau memandang rendah.

Ramai ibu bapa berpendapat bahawa mesej begini penting untuk menunjukkan atau mengajar dan membetulkan atau memperbaiki apa kesalahan yang dilakukan oleh anak tetapi tidak kepada penerimanya (si anak):
- Menghukum, mengkritik, menuduh atau menyalahkan. Contohnya; "kau ni malas" atau "dah besar macam ini pun masih buat kerja bodoh" atau "bila bercakap suka menipu" atau "bodohhh pakai seluar pun tak pandai londeh macam orang berak dalam seluar"
- Melabelkan, name-calling (memberi nama gelaran). "Apa halnya perangai macam budak kecil saja?" atau "cakap pun tak betul macam budak cacat" atau "jangan takut macam pondan pulak"
- Mentafsir (Interpreting), menganalisis atau mendiagnosis. "Jangan cuba buat helah aku tahu kau nak lari dari tugas ya?" atau "jangan buat-buat sakit, mak tahu…"
Manakala terdapat dua jenis mesej yang digunakan ibu bapa untuk meredakan keadaan agar anak merasa lebih selesa walaupun tidak realistik, menyelesaikan masalah atau mengelak ia menjadi lebih serius.
- Memberi pujian, bersetuju atau memberi penilaian positif. "Jangan risau mak dan ayah rasa kau ni patut dapat jadi pengawas" atau "anak abahkan lawa ramai orang nak?"
- Simpati, memberi harapan, konsul. "Janganlah risau mak pun sama juga masa mak dulu…" atau "nanti sampailah tu jangan risau ayah pasti…"
Banyak dari kalangan ibu bapa yang suka menggunakan halangan di bawah ini apabila menggunakan mesej dengan anak remaja, iaitu menggunakan soalan dengan harapan untuk mendapatkan penjelasan.
-Menyoal, interrogate, cross-examining. "Siapa yang yang kasi, beri tahu ayah nama budak itu?" atau "Kenapa adik ikut budak yang poteng?" atau "Sebab apa tak minta izin dulu?"
Kategori 12 pula mengandungi mesej yang digunakan oleh ibu bapa untuk mengubah cerita atau subjek atau cuba lari daripada masalah sebenar.
-Sarkastik, gurauan, menarik diri atau mengalih. "Ok papa faham jom kita cakap benda lain lah yang lebih baik…" atau "tak elok sebut masa makan ni" atau " padan muka siapa suruh cari pasal."

Ramai ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak remaja bermasalah atau tidak bermasalah telah menggunakan sekurang-kurangnya satu daripada 12 halangan di atas. Malah ramai yang tidak menyedari, ia akan memberi kesan yang kurang baik kepada anak-anak mereka dalam menyediakan ruang untuk berinteraksi dan meluahkan perasaan serta tekanan.

Apabila anak remaja sedang mengalami masalah, sama ada masalah peribadi atau di sekolah, maka segala yang dituturkan dan dicakapkan oleh ibu bapa akan diandaikan oleh anak sebagai kurang selesa, sama juga dengan mesej pujian akan menjadi kurang kena jadinya.

Apabila keadaan menjadi serba salah dan tidak kondusif, maka ibu bapa boleh membantu dengan cara yang lebih konstruktif iaitu:
- Mendengar secara pasif - dengan tidak berkata-kata (berdiam) juga merupakan satu bentuk komunikasi penerimaan. Remaja tidak dapat bercakap mengenai masalah mereka apabila ibu bapa pada masa sama turut bercakap.
- Tunjuk dan buktikan yang kita bersamanya - Berdiam ada ketikanya kurang membina kepercayaan remaja yang kita sebenarnya mendengar mereka. Oleh itu, setidak-tidaknya kita mesti menunjukkan isyarat tanpa lisan seperti angguk, memfokus mata atau memegang tangan sambil mendengar dengan empatik
- Pembuka/door opener - tidak cukup sekadar mendengar dan mengangguk sahaja tetapi ibu bapa boleh bertindak dengan lebih berkesan dengan memberi laluan seperti "Ok dan mungkin Ani nak cerita lebih lanjut lagi dan Mama mendengar ni" atau "bagusnya anak mama ni apa lagi yang…" atau "nampaknya anak mak ni ada… mungkin kena kongsi dengan mak siapa kawan lelaki tu…"

Kita diberikan dua telinga dan satu mulut, jadi adalah lebih berkesan dengan memberikan lebih tumpuan kepada kemahiran mendengar dan lebih berhati-hati apabila bercakap, kerana lontaran perkataan itu boleh menyinggung perasaan si pendengar itu seperti pepatah Melayu "Terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata akan binasa."

Selain itu, kemahiran mendengar juga perlu dipelajari dan keikhlasan dalaman adalah sangat penting dalam menghulurkan bantuan. Ibu bapa disarankan supaya bangun malam meminta dengan Allah SWT supaya hati dilembutkan untuk perubahan kepada kebaikan dan segala usaha kita dalam mendidik anak cuma 10 peratus dan selebihnya adalah ketentuan Allah. Maka, usaha, doa dan tawakal. Semoga Allah memberikan hidayah. Insya-Allah

sumber : Utusan online

Saturday, August 21, 2010

Waheeda Makin Tenang Selepas Berpurdah



Waheeda dan Akhil ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan pelancaran program Raya anjuran Astro di Bora Asmara, Khamis. - Foto oleh AZMAN GHANI
PENAMPILAN istimewa pasangan Akhil Hayy dan Waheeda menjadi tumpuan ramai yang hadir pada majlis berbuka puasa dan pelancaran program Hari Raya anjuran Astro di Bora Asmara, Kampung Sungai Penchala, Khamis.

Waheeda yang jarang ditemui setelah bersara daripada dunia nyanyian memakai purdah.
Jelasnya, selepas setahun berpurdah, hatinya semakin tenang dan bahagia.
Alhamdulillah, dia berjaya menunaikan hajat untuk berpurdah yang tertanam sebelum berkahwin lagi.

Walaupun berpurdah, ia tidak menghalang Waheeda untuk mengenakan pakaian mengikut fesyen semasa kerana dirinya dan fesyen tidak dapat lari sejak dahulu lagi.

“Saya suka berfesyen dan sekarang telah mempunyai lebih 10 koleksi abaya yang dibeli secara dalam talian. Ikutkan dari dulu lagi saya suka mengumpul koleksi jeans. Sekarang saya kumpul abaya pula,” katanya sambil tertawa.

Baru-baru ini, dia dikhabarkan tidak berapa sihat. Ditanya tentang kesihatannya sekarang, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini itu mengakui keadaan dirinya baik sambil berkata dia selalu menghidap penyakit gastrik yang datang tidak menentu.

sumber: mStar

Friday, August 20, 2010

Transaksi di Internet lebih selamat

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo. com.my




SERINGKALI keinginan untuk membeli-belah secara dalam talian terbantut apabila prosedur pembelian memerlukan seseorang memiliki kad kredit kerana kaedah itu dilihat lebih mudah dan praktikal.

Malangnya, tidak semua orang memiliki kemudahan kad kredit atau tidak berani menggunakannya secara dalam talian, lebih-lebih lagi golongan pelajar atau mereka yang boros berbelanja.

Justeru, apabila wujud satu penyelesaian yang ditawarkan PayPal dan MOL AccessPortal Berhad (MOL), pengguna Malaysia seharusnya tidak melepaskan peluang untuk turut sama mengambil bahagian.

Ini kerana, hasil usaha sama PayPal dan MOL berjaya menghasilkan kad prabayar untuk membeli-belah dan pembelian permainan secara dalam talian yang dinamakan MOL PayPal - kad digital yang diisukan oleh EON Bank Berhad.

Ia membolehkan seseorang itu menggunakan akaun PayPal untuk membeli-belah secara dalam talian menerusi jutaan laman web beli-belah di seluruh dunia atau secara mudah menambah nilai MOLPoints untuk membeli permainan dalam talian, produk dan perkhidmatan, tanpa memerlukan sebarang kad kredit.

Menurut Timbalan Presiden Strategi Serantau dan Pembangunan Perniagaan, PayPal Asia Pasifik, Melanie Tan, kad prabayar MOL PayPal merupakan kaedah baru untuk membiayai akaun PayPal penggunanya.

DAFTAR dengan PayPal untuk pengalaman beli-belah dan proses perniagaan yang mudah di Internet.

"Rangkaian pengedaran MOL yang meluas, pengalaman kad prabayar dan peneraju gaya hidup digital menjadikannya pilihan ideal bagi usaha sama ini dan kami mahu menggabungkan kepakaran ke atas platform pembayaran dalam talian global kami," katanya.

Presiden MOL, Ganesh Kumar Bangah menjelaskan mereka percaya negara-negara Asia seperti Malaysia mampu bergerak seiring trend digital yang sedang berkembang pesat.

"Kad prabayar baru ini membolehkan ramai orang merasai gaya hidup digital serta menggunakan komputer dan Internet untuk membeli-belah tanpa ragu-ragu," katanya.

Tambah Ganesh lagi, kelebihan PayPal yang pantas, dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan dan perlindungan pelanggan. Ia digabungkan dengan pengetahuan intensif MOL bersama rangkaian dalam industri pembayaran di Asia bagi mewujudkan banyak peluang untuk pelanggan, peniaga dan penerbit permainan dalam talian.

"Kad digital MOL PayPal menyediakan pengguna Malaysia sekeping kad yang pantas, lebih selamat untuk membeli-belah melalui PayPal. Pengguna tidak perlu memasukkan maklumat kewangan setiap kali membeli-belah secara dalam talian.

"Apa yang perlu mereka lakukan adalah hanya dengan menekan klik di butang PayPal, memasukkan alamat e-mel dan kata kunci serta meluluskan pembelian.

"Kaedah ini bukan sahaja pantas, tetapi lebih selamat kerana PayPal tidak berkongsi maklumat kewangan pelanggan dengan peniaga," katanya.

Ujar Ganesh lagi, Polisi Perlindungan Pembeli PayPal turut menyediakan pulangan semula sepenuhnya untuk barangan yang dibeli tetapi tidak diterima pelanggan.

DARI kiri: Ganesh, Melanie dan Elias menunjukkan kad PayPal yang boleh digunakan untuk membuat transaksi di Internet.

"MOL turut mempunyai lebih 200 permainan di bawah jenamanya dan secara aktif melengkapkan pemain-pemain dengan proses pembayaran yang selamat di Malaysia sejak tahun 2002. Kad digital ini membenarkan para pemain terlibat permainan yang mendapat sambutan hebat.

"Antara permainan yang popular ialah MMORPG dan World of Warcraft yang melibatkan lebih 11 juta pemain di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar, PayPal Asia Tenggara dan India, Elias Ghanem pula berkata, kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mempunyai kad kredit atau tidak yakin menggunakan kad kredit untuk pembelian dalam talian. Namun, Kad prabayar MOL PayPal terbukti selamat.

"Di samping proses pembelian yang mudah, pengguna juga dapat menambah nilai kad prabayar di lebih 15,000 lokasi di seluruh negara atau melalui perbankan dalam talian," katanya.

Tambah Elias, kad prabayar MOL PayPal boleh didapati di lebih 1,100 buah kedai serbaneka 7-Eleven pada harga RM15 di seluruh negara atau dipohon secara dalam talian di www.PayPal-MOL.com dan boleh diambil di cawangan EON Bank selepas permohonan diluluskan.

sumber : Kosmo Online

Tuesday, August 17, 2010

Komputer riba inspirasi alam



MELALUI Asus U43JC dan U33JC, elemen sofistikated dan organik disatukan dengan kuasa pemprosesan dan grafik yang berkualiti.


LUARANNYA sahaja sudah tampil elegan. Imej terkini komputer riba keluaran Asus yang diinspirasikan alam semula jadi bagi siri-U adalah pakej lengkap untuk gaya, persembahan dan keperluan masa kini.
Mempamerkan reka bentuk menawan lagi sofistikated, ia amat sesuai bagi mereka yang mementingkan kualiti dan cita rasa. Perincian reka bentuknya ideal untuk dipadan bersama ciri penampilan pemiliknya.
Kehebatan siri-U iaitu Asus U43JC dan Asus U33JC dapat dirasakan pada saat pertama memegang komputer riba pintar ini. Penggunaan buluh sebagai kemasan luaran memberikan sentuhan organik yang natural dan selesa.
Papan kekuncinya yang menggunakan aluminium tebal pula begitu mulus dan memberi sokongan kuat untuk keselesaan menaip, manakala kamera web bina dalam dapat dihidup dan ditutup hanya dengan satu sentuhan lembut.
Teknologi pintar yang melengkapi siri-U membolehkan ia menukar mod VGA dan UMA secara automatik, bergantung kepada tugasan pengguna, sekali gus meningkatkan persembahan dan hayat bateri.
Tidak seperti kebanyakan komputer riba, siri-U dilengkapi USB 3.0 yang mempercepatkan penghantaran data sehingga sepuluh kali ganda berbanding USB 2.0. Pengguna juga dapat menjimatkan sehingga satu jam untuk mengecas iPhone melaluinya.
Kelebihan USB 3.0 juga membolehkan fail wayang Blue-ray seberat 25 gigabit mengambil masa kira-kira 70 saat sahaja untuk dihantar, berbanding 840 saat apabila menggunakan USB 2.0.
Sebagaimana enjin kereta hibrid, enjin hibrid super secara efektif menggunakan kuasa elektrik secara optimum dengan menyesuaikan bekalan tenaga untuk dipadankan dengan keperluan dan tugasan pengguna.
Penyesuaiannya termasuk ke atas BIOS untuk penjimatan tenaga, CPU untuk mod frekuensi rendah serta menyesuaikan frekuensi GPU terbina dalam dan DDR3 ke tahap optimum.
Komputer riba pintar ini juga menyimpan gambar, video, muzik, dokumen, e-mel dan sebagainya dalam bentuk sync bagi memudahkan pencarian data-data.
sumber : Kosmo Online

                                        

Sunday, August 15, 2010

Puasa Yang Berkat

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”
Riwayat Ibnu Majah
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia. ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:
a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.
b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.
c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.
d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.
iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.
v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

                                                

Saturday, August 14, 2010

Kerajaan diminta pantau bahasa Melayu media elektronik

BESUT 13 Ogos - Kerajaan hari ini diminta agar memantau penggunaan bahasa Melayu oleh media elektronik yang disifatkan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM) semakin merosot kualitinya.

Presidennya, Prof. Madya Dr. Hashim Othman berkata, pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.

"Tanpa tindakan pembetulan oleh pihak bertanggungjawab, pasti ia akan merendahkan mutu penggunaan bahasa Melayu itu sendiri kerana media elektronik mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan, pemantapan dan penghayatan bahasa Melayu,” katanya. - Bernama


                                            

Thursday, August 12, 2010

Iktibar daripada ibadat puasa

Sebenarnya Allah SWT tidak mentaklifkan sesuatu ibadat kecuali memberi maslahat dan manfaat kepada manusia dan menolak mafsadah (keburukan) serta kemudaratan daripada mereka.
Inilah yang di nyatakan oleh ulama seperti Izzuddin bin Abdul Salam. Begitu juga puasa, suatu ibadat yang ditaklifkan kepada mereka yang beriman untuk melaksanakannya bagi mendapat dan meraih takwa seperti yang dinaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Kesedaran

Dalam ruangan ini, penulis cuba menjelaskan beberapa iktibar yang boleh kita manfaatkan untuk menambahkan kesedaran dan kefahaman berkenaan dengan sir atau rahsia ibadat puasa itu.
i. Lapar dan dahaga. Seorang sufi ditanya kenapa Allah SWT mewajibkan puasa? Lantas dijawabnya: "Untuk melaparkan orang kaya".
Ini kerana lapar boleh menginsafkan manusia serta melahirkan keihsanan kepada golongan miskin dan yang perlukan bantuan. Lapar juga boleh mendidik nafsu daripada bersifat kebinatangan kepada kebersihan jiwa yang tinggi dan dapat menjalani fitrah manusiawi bahkan menuju jiwanya ke arah yang tinggi. Lapar juga boleh menghasilkan kepintaran dan kecerdikan.
Benarlah kata pujangga: "Dari rumah orang-orang fakir lahirnya cendekiawan terbilang". Sebagai contoh, Imam Syafie, Imam Abu Yusuff, Imam al-Bukhari dan ramai lagi.
ii. Bersahur. Satu ibadat yang cukup pelik pada logik akal kerana makan pada waktu ghalibnya manusia dibuai mimpi dan tidur yang penuh dengan kenyenyakan tiba-tiba terpaksa bangkit untuk bersahur bagi mencari sebuah keberkatan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Kalimah berkat yang dinakirahkan menunjukkan maknanya yang tersangat umum sama ada berkat duniawi atau ukhrawi dan bolehlah ditafsirkan mengikut yang sewajarnya.
Ibn al-Qayyim menafsirkan dengan maksud kekuatan tambahan kepada seseorang yang bersahur untuk memudahkan pelaksanaan ibadat puasa tanpa kelaparan yang teramat. Di samping itu melihat kepada para sahabat seperti Imam Muslim dan lainnya, bahawa para sahabat menggunakan waktu antara sahur dan subuh dengan membaca al-Quran antara 50 ke 60 ayat.
Ini bermaksud walaupun disuruh bersahur tetapi para salaf al-soleh, ulama dan orang-orang soleh menggunakan waktu tersebut untuk berqiammullail, berzikir, berdoa, beristighfar dan munajat kepada Rabbilalamin. Ini sudah tentu mendekatkan mereka kepada Allah SWT.
iii. Iftar atau berbuka. Di mana Islam menggalakkan umatnya supaya berbuka dengan segera berdasarkan kepada nas Nabawi. Berbuka dengan peraturan-peraturan dan adab-adabnya seperti memakan tamar atau manisan.

Kemenangan

Mempunyai matlamat yang khusus dari segi perubatan dan kesihatan sebagai Tibbu NabawiIftar akan merasai bagi yang berpuasa sebagai sebuah kejayaan dan kemenangan kerana dapat melaksanakan perintah Allah SWT dengan jayanya pada hari tersebut.
Ucapan doa dan syukur dirafakkan kepada-Nya. Disebalik iftar, kita dapati sebuah keluarga yang ibu dan bapanya atau suami isteri serta anak-anak yang makan secara individu atau berseorangan pada bulan-bulan lain akan bertaup kembali dengan makan secara jamaai. Di mana ini menatijahkan kekuatan silaturrahim dan keakraban kekeluargaan.
Perasaan kasih sayang, hormat menghormati, mengambil prihatin dan cakna sesama keluarga akan subur kembali.
iv. Puasa dari segi maknanya menahan. Memberi maksud supaya ditingkatkan kesabaran ketika menghadapi ujian yang pada asasnya lapar dan dahaga. Tetapi sebenarnya madrasah Ramadan telah memperkenalkan serta melakukan tamrin kepada yang berpuasa untuk mengekali dan menjiwai watak sabar supaya ia sebati dalam jiwa manusia muslim.
Sabar yang banyak dan kerap kali diungkap di dalam al-Quran dan hadis yang menatijahkan kemenangan, kejayaan, kebahagiaan, kepimpinan, keluasan rezeki, pelepasan daripada musuh dan lain-lain.
Benarlah kata pujangga: "Hai saudara ku, kamu tidak akan mencapai kejayaan sehingga kamu menjilat kesabaran".

                                               

Tuesday, August 10, 2010

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok








KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 11 Ogos 2010 bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


Beliau membuat pengumuman itu melalui siaran langsung RTM1 malam ini.
Pada 3 Ogos lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menetapkan hari ini untuk melihat anak bulan serta menetapkan beberapa tempat untuk tujuan tersebut termasuk di Menara Kuala Lumpur.

Majlis Raja-Raja juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

Berikutan dengan pengumunan itu, seluruh masjid di negara ini mula mengadakan solat sunat tarawih. - BERNAMA


                                                                                 

Ramadan bukan bulan menambah hutang


BULAN Ramadan menjelma kembali. Ia bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan pengampunan. Bermulanya Ramadan, umat Islam berusaha mengerjakan ibadah sebanyak mungkin. Bertadarus al-Quran, berzikir dan mengerjakan solat tarawih cukup sinonim dengan Ramadan. Tidak kurang juga, Ramadan bulan rezeki untuk umat Islam.

Masakan tidak, pada bulan inilah, para peniaga mendapat 'durian runtuh' menjual barangan mereka. Sebut sahaja apa jenis barangan, insya-Allah kesemuanya dapat dijual pada masa ini. Umpamanya, bazar-bazar Ramadan akan sentiasa dipenuhi orang ramai pada sebelah petang. Suasana meriah akan dirasai oleh sesiapa sahaja yang berkunjung di bazar Ramadan. Pelbagai juadah berbuka puasa yang menyelerakan sesiapa sahaja boleh didapati di sini.

Kedai-kedai pakaian dan perabot juga akan dikunjungi umat Islam. Tidak kurang juga, bulan Ramadan adalah bulan rezeki kepada tukang jahit pakaian. Kalau sesiapa ingin mendapatkan khidmat tukang jahit pakaian, dapatkanlah khidmat mereka sebulan sebelum Ramadan. Jika tidak, berputih matalah anda. Ini kerana tukang jahit pakaian tidak dapat menerima tempahan anda. Mereka tidak dapat memenuhi permintaan anda untuk menyiapkan pakaian menjelang Hari Raya Puasa.

Lantaran itu, bulan Ramadan merupakan pintu rezeki kepada para peniaga. Ada di antara peniaga, mampu mengaut keuntungan bersamaan dengan keuntungan sepanjang tahun. Itulah rezeki buat para peniaga pada bulan Ramadan. Namun, di sebalik mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda, para peniaga juga seharusnya memainkan peranan mereka. Tatkala, umat Islam berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa, biarlah harganya tidak terlalu menekan. Kebersihan makanan juga patut dijaga. Inilah amalan perniagaan yang baik. Beretikalah ketika berniaga. Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Bagi para pengguna pula, bijaklah berbelanja. Kalau ikutkan nafsu makan, kesemuanya mahu dibeli. Seolah-olah ingin melepaskan geram dek kerana tidak makan pada waktu siang. Sering kali kita lihat, ada orang membeli makanan berlebih-lebihan sehingga membazir. Berapa banyak sangatlah yang mahu dimakan ketika berbuka puasa.

Tetapi kerana ingin memuaskan nafsu makan, apa sahaja makanan yang terlintas di hati, dibelinya. Akhirnya, dibuang begitu sahaja. Walhal, puasa berperanan melatih kita agar tidak membazir dan pada masa yang sama, merasai betapa peritnya golongan miskin yang saban hari terpaksa mengharung kehidupan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita pula bermewah-mewah membeli juadah berbuka puasa sehingga melebihi keperluan.

Itu belum dikira pembaziran lain seperti membeli perabot dan pakaian baru secara keterlaluan. Maklumlah musim perayaan setahun sekali. Maka, dizahirkan segala nafsu bermewah-mewah ketika bulan Ramadan dan Syawal.
Ketika inilah, kita akan lihat ramai peniaga mempromosi pelbagai jenis kuih-muih. Bahkan, tidak mengejutkan jika ada peniaga yang mempromosi barangan mereka sebulan sebelum Ramadan. Modus operandi mereka adalah menggalakkan para pembeli berhutang. Dengan pelbagai tawaran seperti tidak payah membayar wang sehingga berbulan-bulan meskipun barangan telah diperoleh, sedar atau tidak kita sebenarnya terikut-ikut dengan budaya berhutang.

Sedangkan perabot sedia ada di rumah masih dalam keadaan baik, tetapi sekali lagi dek kerana ingin memuaskan nafsu di mata, segala-galanya mesti baru. Maka, tidak menghairankan apabila ramai yang terjebak dengan budaya berhutang ketika bulan Ramadan.

Sedangkan ketika bulan Ramadan, umat Islam diajar agar berjimat cermat mengekang hawa nafsu. Ada yang berhutang sehingga tidak mampu membayarnya bertahun-tahun. Bermewah-mewah semasa bulan Ramadan perlu dielak sama sekali.

Bersederhanalah. Berhutang secara keterlaluan boleh memudaratkan diri. Memang seronok menayang barangan baru di rumah kepada tetamu, tetapi keseronokan itu tidak membawa erti jika terpaksa menanggung beban hutang selama berbulan-bulan, bahkan ada yang bertahun-tahun.

Dikhuatiri, disebabkan budaya berhutang inilah menyebabkan kita terjebak dengan perangkap kemuflisan. Setiap hari, dilaporkan ada sahaja individu yang diisytiharkan muflis. Faktor mereka terjebak dengan kemuflisan kerana bermewah-mewah dalam berbelanja sehingga tidak mampu membayar sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit. Adakah kita ingin termasuk dalam sebahagian daripada angka individu yang muflis itu? Ukurlah baju di badan sendiri.

Kita sahajalah yang mengetahui sejauh mana kemampuan kita berbelanja. Lebih elok lagi jika kita bersederhana kerana inilah yang dituntut oleh Islam ketika menyambut bulan Ramadan. Semoga, ibadat puasa kita mengajar erti kesederhanaan dalam menjalani kehidupan seharian.

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

Thursday, August 5, 2010

1,200 kerani, pembantu am diserap ke sekolah

SANDAKAN 3 Ogos - Seramai 1,200 kerani dan pembantu am pejabat di jabatan dan Kementerian Pelajaran akan diserapkan ke sekolah-sekolah bagi menyelesaikan isu bebanan tugas yang ditanggung guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah penstrukturan semula kakitangan sokongan itu penting bagi membolehkan guru menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
"Kementerian juga akan menambah kakitangan sokongan, mengurangkan ujian-ujian di sekolah dan menetapkan setiap sekolah hanya mengadakan aktiviti luar tidak lebih dua kali sebulan sebagai pendekatan holistik menangani masalah bebanan tugas guru ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendidikan anjuran Kesatuan Guru Sabah (STU) di sini hari ini.

Seramai 150 guru dari seluruh negeri menghadiri seminar yang turut dihadiri oleh Presiden STU Sabah, Suhaimi Othman.
Mohd. Puad berkata, kementerian juga akan mengambil guru untuk mengajar subjek sukan dan kurikulum secara kontrak dalam usaha mengurangkan beban tugas guru.
Selain itu, katanya, kementerian akan menambah bilangan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) untuk menggantikan guru-guru yang bercuti panjang seperti cuti bersalin.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd. Puad menyarankan agar guru sentiasa bersedia dan bijak mencipta kaedah berkesan selaras dengan tuntutan memartabatkan profesion perguruan negara.
Menjawab soalan salah seorang guru mengenai jawatan Pembantu Makmal Komputer (FT17) yang sebahagian besar diisi bukan anak tempatan Sabah, Mohd. Puad berkata, kementerian akan mengkaji perkara tersebut.
"Boleh dipertimbangkan dan saya akan memanjangkan kepada bahagian sumber manusia mengenai jawatan ini," katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, seminar dua hari itu bertujuan menyokong dan mendedahkan warga pendidik di seluruh negeri ini mengenai dasar-dasar pendidikan dan kaedah-kaedah pelaksanaannya.
Katanya, warga pendidik yang terlibat dalam seminar itu perlu memanfaatkan sepenuhnya pelbagai informasi yang diperoleh dan mempraktikkannya dalam meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.



                                               

Wednesday, August 4, 2010

Cadangan pendidikan reproduktif sebagai mata pelajaran dikaji

PUTRAJAYA 4 Ogos - Kementerian Pelajaran sedia mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa teknikal terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pakar-pakar berkaitan masalah sosial, akan meneliti cadangan itu sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Katanya sebelum ini, program perintis PKRS dilaksanakan di lima sekolah menengah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan serta Pahang sebagai kokurikulum sekolah.
"Sama ada (PKRS) ini kekal sebagai kokurikulum atau diserapkan dalam silibus akademik (kurikulum) sedia ada, misalnya dalam mata pelajaran biologi atau sains, kita akan buat penelitian.

"Di peringkat awal ini, kita tidak dapat putuskan apa yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini. - Bernama


                                                

Malaysia Kini Bersiap Sedia Menjadi Hab Pendidikan Serantau

NILAI, 2 Ogos (Bernama) -- Selepas merancang selama bertahun-tahun, Malaysia kini bersiap sedia untuk menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan bertaraf dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah kini, Malaysia telah meletakkan dirinya sebagai negara pengeksport pendidikan ke-11 terbesar dengan anggaran 90,000 pelajar antarabangsa dari lebih 100 negara sedang mengikut pengajian di pelbagai sekolah antarabangsa, kolej dan universiti.

"Sudah tiba masanya melaksanakan apa yang telah dilafazkan, untuk mewujudkan sebuah sistem yang menghormati hak setiap orang bagi memperoleh pembelajaran berkualiti," kata Muhyiddin ketika berucap pada upacara pecah tanah Epsom College, di Bandar Enstek, di sini Isnin.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Tony Fernandes, pemilik AirAsia yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Epsom College.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Malaysia kini menjadi destinasi yang semakin popular bagi ramai pelajar antarabangsa dari Asia, Timur Tengah dan Afrika.

"Bagi memastikan bahawa kualiti dikekalkan, semua institusi pendidikan di Malaysia dipantau rapi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan undang-undang lain seperti Akta Pendidikan 1996 dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996," katanya.

Beliau berkata Malaysia sentiasa melihat pendidikan sebagai satu daripada langkah penting ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih unggul, negara yang dibina pada asas intelek yang subur, dan aspek sosio ekonomi yang produktif serta progresif.

Bagi menunjukkan komitmen kerajaan, Barisan Nasional (BN) memperuntukkan lebih satu perlima daripada bajet tahunan negara ke arah pendidikan dan pembangunan insan, katanya.

"Pada tahun 2009, peruntukan RM47.7 bilion dikhaskan kepada sektor pendidikan. Bagi 2010, kami memperuntukkan 22.7 peratus daripada keseluruhan bajet kerajaan kepada sektor pendidikan," katanya.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang, Malaysia mengiktiraf pendidikan sebagai satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dapat memacu negara agar sebaris dengan negara berpendapatan tinggi, katanya.

"Dalam hubungan ini, kami mengakui bahawa infrastruktur pendidikan dan peluang yang mencukupi, pelaburan yang sewajarnya, dasar serta wadah yang tepat untuk memupuk pembinaan sahsiah adalah isu utama dalam merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju," katanya.

Beliau berkata terletak di pintu masuk Asia Tenggara, Malaysia telah lama melaksanakan peranannya sebagai hab serantau bagi pendidikan.

Sementara itu, Pengetua Epsom College Stephen Borthwick memberitahu sidang akhbar, kolej itu akan dibina di tapak seluas 50 ekar di Bandar Pendidikan Kuala Lumpur di Bandar Enstek.

"Ini kali pertama kolej ini membuat pelaburan di luar negara asalnya," katanya.

Sejumlah RM140 juta dilaburkan untuk projek ini termasuk pembangunan kampus berharga RM110 juta bagi Epsom College di Malaysia, katanya.

Kolej itu yang dijadual dibuka pada September 2012, menyasarkan 1,050 pelajar dari seluruh Asia, oleh itu membantu mencapai wawasan negara untuk muncul sebagai sebuah hab pendidikan global, katanya.



-- BERNAMA


                                          

Labels

Berita Pendidikan (135) Berita Pilihan MPKB 90/93 (47) Artikel Pilihan (35) Makluman Terkini (35) Petikan Akhbar (35) Berita Dalam Negara (34) Petikan Akhbar dari Sinar Harian Online (31) Artikel Islam (29) Berita Guru (28) Artikel Ilmuan Islam (26) Berita Sosial (23) Artikel Pendidikan (19) Artikel Ibadat (18) Ulasan Berita (18) Gambar Menarik (15) Artikel Pedoman (14) Berita Piala Dunia (14) Semak Tawaran/Permohonan (14) Berita Ekonomi (13) Berita Luar Negara (13) Berita MH370 (13) Petikan Akhbar dari Astro Awani (13) Petikan Akhbar dari UTUSAN Online (13) Permohonan Akademik (12) Berita Politik (11) Berita Semasa (11) Petikan Akhbar dari BH Online (10) Berita Agama (9) Berita Permotoran (7) Catatan Peribadi (7) Artikel dari UTUSAN Online (6) Berita Kemalangan (6) Berita Pekerja (6) Petikan Akhbar dari mStar Online (6) Artikel Ekonomi (5) Artikel IT (5) Berita Ibadah Haji (5) Huraian Hadis (5) Rencana Akhbar Online Pilihan (5) Artikel dari Kosmo! Online (4) Artikel dari Penulis Popular (4) Artikel dari myMetro (4) Berita Pemimpin Negara (4) Berita Perkhidmatan Awam (4) Berita Sukan (4) Pendapat (4) Petikan Akhbar dari Kosmo! Online (4) Petikan Akhbar dari The Malaysian Insider (4) Berita Artis (3) Berita Konflik Negara Islam (3) Berita Pelaksanaan Hudud (3) Berita Perundangan (3) Berita Teknologi Baru (3) Hari Raya (3) Petikan Akhbar dari Harakahdaily (3) Petikan Akhbar dari Malaysiakini (3) Artikel Bahasa (2) Artikel Dekorasi (2) Artikel Penulis Terkenal (2) Artikel Seni Islam (2) Artikel Teknologi (2) Artikel oleh Tokoh Ulama Tempatan (2) Berita Alam Sekitar (2) Berita Bajet Negara (2) Berita Cuaca (2) Berita Halalnya Produk (2) Berita Institusi Raja (2) Berita Jenayah (2) Berita Pemimpin Luar Negara (2) Berita Penderitaan Rakyat Palestin (2) Berita Roda (2) Berita Sensiviti Agama Islam (2) Churp Churp (2) Dasar / Konsep (2) Keputusan Peperiksaan Awam (2) Lagu Motivasi (2) Maulidur Rasul SAW (2) Mutiara Kata (2) Permotoran (2) Petikan Akhbar Online (2) Petikan Akhbar dari myMetro (2) Rencana Pendidikan (2) Rencana Penulis Terkenal (2) Software Piala Dunia 2010 (2) Takwim (2) Tema (2) Abdul Nasser b. Abdul Majeed (1) Ahmad Mohzir Abu Bakar (1) Aktiviti Luar PM 3 (1) Amin dan Gambar2 drpd Pesisir (1) Artikel Berkaitan MH370 (1) Artikel Budaya Masakini (1) Artikel Dunia Siber (1) Artikel Kerjaya (1) Artikel Kesihatan (1) Artikel Pelaksanaan Hudud (1) Artikel Pemakanan Sihat (1) Artikel Perjuangan Rakyat Palestin (1) Artikel Perundangan (1) Artikel Sarjana Tempatan (1) Artikel Sastera (1) Artikel Sukan (1) Artikel Ulama Tanahair (1) Artikel dari Buletinonline.net (1) Artikel dari Harakah (1) Artikel dari MyIbrah.com (1) Artikel dari Sinar Harian Online (1) Artikel dari Warga Kampus (1) Artikel oleh Tokoh Wartawan Tempatan (1) Azmi bin Sulaiman (1) Berita Bola Sepak (1) Berita Bukan Islam Biadab (1) Berita Dunia Siber (1) Berita Ibadah Puasa (1) Berita Insan Istimewa (1) Berita Institusi Pondok (1) Berita Kampus (1) Berita Kejadian Mengejut (1) Berita Keluarga Malang (1) Berita Kesan Negatif Internet (1) Berita Keselamatan Kanak-Kanak (1) Berita Pelajar Cemerlang (1) Berita Pelaksanaan GST (1) Berita Pelik (1) Berita Perubatan (1) Berita Sambutan Kemerdekaan Negara (1) Berita Sultan Perak (1) Berita Tanah Haram (1) Berita dari BERNAMA (1) Bersama Aminuddin dan Keluarga (1) Di Rumah Khishamuddin (1) Di Rumah Nasser Mamak (1) Festival Hari Guru 2010 (1) Forum (1) Free Viral (1) Gambar Pilihan (1) Jadual Gaji (1) Jadual peperiksaan awam (1) Jalaluddin Ayai (1) Jalaluddin Ayai Isteri Anak2 Biz (1) Kempen Anti Israel (1) Keratan Akhbar (1) Keratan Akhbar Online (1) Khutbah Jumaat (1) Lawatan En Khishamudin ke MPKB (1) MPKB ke IPGMKKB (1) Manan Md Zain (1) Masjid Pilihan (1) Nasser dan Khishamudin (1) Nostalgia Khishamudin (1) PBSM Dalam Kenangan (1) PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025 (1) PM3 Dlm Kenangan (1) PRK DUN Balingian (1) PRK DUN Kajang (1) Pedoman (1) Pendapat dan Teori Penulis Hebat (1) Petikan Akhbar Sukan Star TV (1) Petikan Akhbar dari Indahnya Islam (1) Petikan Akhbar dari islamedia (1) Program Perguruan (1) Promosi Pendidikan (1) Puan Azlina Haron (1) Rencana Kesihatan (1) Rencana Tentang Guru (1) Rencana Tentang MH370 (1) Rencana dari Harakahdaily (1) Rohana Jusoh Rosli Zuraida dan Hayati (1) Rohana binti Jusoh (1) Segmen Blogger (1) Selamat Hari Raya (1) Siti Norbaya Abd Majid (1) Soal Jawab Agama (1) Sumbangan Ikhlas (1) Surat Siaran / Pekeliling (1) Suriani binti Ariffin (1) Tokoh (1) Ucapan Hari Guru (1) Ucapan Raya (1) Video Tazkirah (1) Video Tema Piala Dunia 2010 (1) XPDC PM 1 1992 (1) Zainal b. Nordin (1) a (1)

Blog Archive

www.e-referrer.com