Gambaran pelukis tentang Masjid Istana Diraja. (Imej: Google)
Masjid impian Sultan Selangor
MASJID Istana Diraja kaya dengan nilai-nilai artistik seni bina Melayu dan Islam.
WALAUPUN baginda puas meredah lautan dan menjelajah banyak negara, kepuasan yang lebih bermakna hanya diperoleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda membina sebuah masjid di Klang, Selangor enam bulan lalu.
"Semasa menjelajah ke luar negara khususnya Mesir, beta lihat banyak masjid yang cantik di sana. Jadi beta terfikir untuk mendirikan sebuah masjid seperti itu dengan memilih Istana Alam Shah di Klang sebagai lokasinya. Beta berharap masjid itu akan menjadi tempat untuk menyatukan kira-kira 1,000 ahli kerabat diraja Selangor," titah Sultan Selangor itu.
Dalam buku A Fulfilment: The Royal Palace Mosque, Sultan Sharafuddin menambah, membina masjid itu merupakan impian baginda yang telah lama terpendam.
"Ia ibarat kemuncak pencarian bagi kepuasan dalaman. Pada masa yang sama beta dapat meninggalkan warisan, tidak semestinya projek-projek mega negeri, memadai benda yang bermakna walaupun kecil," ujar baginda.
Lakaran arkitektur
Buku setebal 108 muka surat itu menjadi lambang idea murni Sultan Sharafuddin. Ia dibahagikan kepada empat bab dengan 39 tajuk kecil. Tidak kurang 100 keping gambar ruang dalam dan luar masjid disajikan kepada pembaca termasuk lakaran seni bina masjid itu sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Membaca buku itu seolah-olah membawa pembaca ke tempat-tempat yang pernah baginda lawati. Menurut baginda, masjid itu menggabungkan seni bina Melayu, Turki, Mesir dan negara-negara Asia Barat lain.
Dibina bersebelahan Istana Alam Shah, Masjid Istana Diraja yang diilhamkan serta dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Sharafuddin itu sarat dengan nilai-nilai artistik seni bina Melayu dan Islam.
Masjid bernilai RM9 juta itu mempunyai sebuah menara setinggi 36 meter dan empat buah pintu gerbang dengan pintu gerbang utamanya menghadap Istana Alam Shah. Jubin-jubin seni tangan dari Turki pula bagaikan memberikan sentuhan sempurna pada binaan gerbang itu.
Bagi menampakkan kelainan, permukaan kubah masjid diukir dengan corak geometri ringkas yang disusun secara seragam manakala di bahagian atas menara dihias dengan elemen murqanas, iaitu seni reka yang menerapkan corak berunsurkan Islam.
Sebagai kesinambungan kepada seni bina luarannya, pelbagai jenis kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran ditempatkan di setiap penjuru dinding masjid.
Terdapat juga ukiran kayu di beberapa tempat seperti bahagian pintu utama dan mimbar bagi menyuntik elemen estetik Melayu.
Masjid terbuka
Lengkap dengan ruang untuk majlis akad nikah dan perkahwinan, masjid ini mengambil reka bentuk masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir khususnya pada bentuk menara, kubah dan pintu gerbang.
Ia direka berkonsepkan masjid terbuka dengan ruang dalam bangunan kebanyakannya tidak dipisahkan oleh dinding bagi menggalakkan pengaliran udara segar di samping menjimatkan penggunaan alat pendingin hawa.
Pembinaan masjid yang berkeluasan 2,160 meter persegi itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan iaitu bermula dari Januari 2009 sehingga Mei lalu.
Tujuan utama pembinaannya adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan tali persaudaraan antara waris-waris kerabat diraja Selangor.
Masjid ini juga dijadikan sebagai pusat ilmu tahfiz al-Quran yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Istana Alam Shah.
Pusat ilmu ini ditubuhkan bagi melahirkan ahli hufaz yang seimbang kejayaan mereka di dunia dan akhirat di samping memberikan manfaat kepada umat Islam.
Selain itu, ia juga berfungsi sama seperti masjid lain dan boleh digunakan oleh orang awam yang menghadiri majlis atau istiadat di Istana Alam Shah untuk menunaikan solat.
Bagaimanapun, solat Jumaat tidak dilakukan di sini berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan Masjid Suleiman Jamiur Rahmah yang dibina lebih 100 tahun lalu.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2FrEKcoZw
No comments:
Post a Comment