Persoalan biasiswa adalah persoalan yang emotif dan rapat dengan semua rakyat, baik masyarakat Melayu/Bumiputra mahupun masyarakat Cina dan India. Masyarakat Melayu/Bumiputra melihat biasiswa sebagai instrumen perlaksanaan Perkara 153 yang termaktub di dalam Perlembagaan, sementara biasiswa pendidikan bagi masyarakat Cina dan India adalah jalan penting ke arah mobiliti sosial. Rakyat Malaysia pelbagai kaum telah sebati dengan kemudahan biasiswa pendidikan bagi pelajar-pelajar cemerlang dan berpotensi.
Kebelakangan ini, kekangan kewangan akibat keborosan Barisan Nasional menyebabkan Dato’ Seri Najib Tun Razak mendahulukan rakyat untuk dikorbankan. Kos sara hidup rakyat terbanyak dibiarkan naik melambung apabila subsidi bahan api dan makanan dipotong. Kini, kos pendidikan rakyat juga akan naik melambung apabila biasiswa pendidikan akan dihapuskan. Semua ini berlaku sementara tidak ada satu tindakan pun diambil untuk menyekat rasuah, pembaziran dan aliran wang rakyat ke tangan kroni melalui perjanjian-perjanjian berat sebelah seperti konsesi lebuhraya, penjana bebas elektrik dan lain-lain.
Pun begitu, saya akui bahawa sistem pemberian biasiswa sedia ada perlu dirombak dan ditambahbaik; bukan atas alasan negara kekurangan dana tetapi untuk memastikan negara benar-benar mendapat pulangan terbaik dari pelaburan masa depan ini. Polemik sama ada kita wajar menghantar pelajar-pelajar terbaik ke universiti di seluruh dunia (mutu sesetengah dari universiti luar negara ini lebih rendah dari mutu (IPTA) semata-mata atas dasar pemberian biasiswa perlu diperhalusi.
Kesannya kepada perancangan untuk menambahbaik mutu universiti-universiti tempatan juga perlu diteliti.
Namun, tindakan menghapuskan biasiswa kepada pelajar lepasan SPM semata-mata kerana kegagalan Barisan Nasional mewujudkan tata kelola yang baik dalam mentadbir kewangan negara adalah satu jalan singkat yang tidak bertanggungjawab.
Walaupun polisi pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang yang berjaya mendapatkan tempat di universiti ternama di seluruh dunia boleh diterima pada dasarnya, polisi ini akan menimbulkan diskriminasi terhadap pelajar-pelajar luar bandar dan dari keluarga berpendapatan rendah jika ia tidak dirancang dan dilaksanakan dengan baik.
Proses untuk mendapatkan tempat di universiti-universiti ini adalah rumit dan melibatkan pelbagai ujian, termasuklah ujian-ujian yang asing kepada pelajar-pelajar luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah yang hanya mengenali SPM dan sistem pendidikan kebangsaan.
Contohnya, bagi mereka yang ingin memohon ke universiti ternama di Amerika Syarikat, pelajar-pelajar kita perlu cemerlang di dalam beberapa ujian termasuk SAT Reasoning Test dan ujian penguasaan bahasa Inggeris. Bagi mereka yang ingin mendapat tempat di Oxbridge pula, mereka perlu melalui proses temuduga yang rumit dan kadang kala mahal apabila mereka perlu hadir sendiri ke United Kingdom. Ujian-ujian yang asing serta proses temuduga sebegini memerlukan latih tubi dan
penguasaan bahasa Inggeris yang cukup baik; tidak kiralah seberapa pintar dan besarnya potensi pelajar-pelajar dari luar bandar atau keluarga berpendapatan rendah itu.
Dari aspek inilah, saya benar-benar gusar bahawa kesan tidak langsung polisi yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah mewujudkan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap pelajar dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah. Majoriti pelajar-pelajar ini adalah pelajar Melayu/Bumiputra yang akhirnya menimbulkan satu suasana yang mana pelajar-pelajar Melayu/Bumiputra seolah-olah dinafikan biasiswa, walaupun mereka cemerlang secara akademik dan ko-kurikulum.
Oleh itu, beberapa perkara berikut perlu diberikan perhatian serius dengan segera memandangkan masa yang ada adalah terlalu suntuk:
Pertama, pembiayaan kursus persediaan universiti kepada pelajar-pelajar cemerlang pelbagai bangsa, dengan keutamaan kepada pelajar dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah perlu diteruskan. Alasan bahawa ia perlu dihapuskan kerana kekangan kewangan tidak dapat diterima kerana ia berpunca dari sikap semborono UMNO/Barisan Nasional.
Kedua, kursus persediaan universiti yang dibiayai ini mestilah melibatkan institusi-institusi berprestasi tinggi yang mempunyai pengalaman untuk melatih pelajar-pelajar cemerlang (terutamanya dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah) bersedia melalui ujian kemasukan ke universiti-universiti ternama.
Ketiga, kerajaan perlu segera menyediakan lebih banyak institusi-institusi sebegini supaya persediaan pelajar-pelajar cemerlang padan dengan potensi sebenar mereka untuk memasuki universiti ternama seluruh dunia. Saya khuatir jumlah institusi sedia ada adalah tidak mencukupi dan kebanyakannya tidak berpengalaman, kerana selama ini institusi-institusi ini hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan pra-universiti sahaja.
Keputusan yang sebegini besar dan penting sewajarnya tidak diumumkan secara sembunyi kepada pendengar-pendengar radio berbahasa Tionghua sahaja. Ia satu dasar negara yang berkait rapat dengan Perkara 153 dan membawa kesan besar kepada kemajuan negara dan keharmonian kaum.
KEADILAN mendesak supaya kerajaan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan wakil semua parti dan semua bidang untuk memperhalusi perkara ini sebelum dilaksanakan untuk mengelakkan ada kumpulan-kumpulan tertentu yang ditindas sekiranya dilaksanakan secara tergopoh-gapah.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment