Gambar hiasan dari Google
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Penerbangan pertama Malaysia Airlines (MAS) membawa pulang jemaah haji Malaysia daripada Tanah Suci tiba awal hari ini.
Penerbangan MH8201, membawa 279 jemaah haji, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 4.05 pagi, kata MAS dalam kenyataan dan menurutnya penerbangan itu berlepas dari Jeddah pada 2 petang (waktu Arab Saudi) semalam.
Semua jemaah berkenaan diwajibkan menjalani pemeriksaan seperti disyaratkan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penyebaran merentas sempadan virus Ebola yang telah menjangkiti dan meragut nyawa penduduk di barat Afrika.
"Kementerian telah mewujudkan kaunter-kaunter kesihatan di pintu ketibaan untuk memastikan semua jemaah dan kru MAS diperiksa," menurut kenyataan itu.
Bagi haji musim ini, MAS mengendalikan 39 penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah dari tujuh bandaraya di Malaysia iaitu Kuala Lumpur (14 penerbangan), Pulau Pinang (enam), Johor (enam), Kuala Terengganu (lima), Alor Setar (lima), Kuching (dua) dan Kota Kinabalu (satu), antara 27 Ogos dan 27 September.
Sebanyak 28 penerbangan mendarat di Jeddah dan 11 di Madinah. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_26/Penerbangan-pertama-MAS-bawa-pulang-jemaah-haji-tiba-hari-ini#ixzz3Fpk8OjF3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment