Scroll to top

Thursday, May 26, 2011

Hina Islam: Abim gesa tindakan tegas



Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mahu tindakan tegas diambil ke atas blog dan laman Facebook yang menggunakan nama 'Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara' kerana jelas menghina imej serta kesucian agama Islam.

abimSetiausaha agungnya Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, bahan-bahan yang dimuatkan itu menggambarkan niat jahat dan berbentuk provokasi.

“Tindakan ini amat dikesali dan jelas-jelas telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Abim beserta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah membuat laporan polis di balai Dang Wangi.

Selain tulisan yang mencaci agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, turut disiarkan dalam blog berkenaan adalah beberapa gambar palsu yang menghina Kaabah yang ditampal dengan gambar binatang, jerung dan juga penyanyi barat yang berpakaian seksi.

Sehubungan itu, Abim juga kata Mohamad Raimi, Abim mahu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib segera menyiasat secara terperinci insiden berkenaan.

“Abim menuntut agar dakwaan dan tindakan tegas dikenakan terhadap penulis itu dan mana-mana pihak yang bersubahat.

“Abim juga dengan ini mendesak agar pemohonan maaf dikeluarkan secara rasmi dan terbuka oleh beliau terhadap seluruh umat Islam,” katanya.

Sembilan lagi sekolah diiktiraf sebagai SBT: Muhyiddin

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan sebanyak sembilan buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua bagi Kumpulan Kedua, menjadikan jumlah SBT pada tahun ini sebanyak 32.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diberikan status SBT tahun ini ialah 50 buah sekolah.

"Ia dicapai melalui program handholding atau bimbingan kepada sekolah-sekolah yang berpotensi, yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan masing-masing untuk mencapai status SBT," katanya pada majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Sebanyak 20 buah sekolah telah diumum sebagai SBT Kohort Pertama pada tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah SPT setakat ini 52 buah di seluruh negara.

Muhyiddin berkata, sembilan sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban; Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak.

Selain itu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Agama Naim LilBanat, Kota Baharu.

Bagi kategori sekolah rendah, pengiktirafan SBT diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sibu.

Muhyiddin berkata, terdapat SBT yang dilawati oleh negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penandaarasan.

Katanya, ini membuktikan bahawa sekolah ini telah berjaya menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.

Beliau berkata, pengiktirafan SBT tertakluk kepada satu set KPI merangkumi bidang akademik (50 peratus), kokurikulum (30 peratus), Jaringan dan Jalinan (10 peratus) dan Etos & Watak Sekolah (10 peratus). - Bernama

Post Pilihan