Sekadar gambar hiasan
TAHUN lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan untuk memacu negara ke arah mencapai Wawasan 2020 sejajar dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Komitmen utama kerajaan adalah untuk memastikan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan juga latar belakang dapat menikmati pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan.
Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan menyusun pelan transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan negara, bermula dari peringkat pra-sekolah sehingga ke tahap pengajian tinggi. Matlamatnya untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang merupakan faktor kritikal dalam menentukan kemajuan negara di masa hadapan. Pelan ini juga menggalakkan sektor swasta untuk memantapkan kebolehpasaran pelajar-pelajar dalam menjana ekonomi bertaraf dunia.
Setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan srikandi yang tidak didendangkan (our unsung heroes). Sekiranya kisah pengorbanan dan kejayaan itu dihimpunkan dan mereka diberi pengiktirafan serta penghargaan yang sewajarnya, TIMBALAN PERDANA MENTERI, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN percaya seluruh warga guru akan mendapat suntikan semangat untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan setiap murid.
Tawaran baru bukanlah di luar jangkauan. Tahun lalu beliau mengumumkan Tawaran Baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Sekolah-sekolah yang memenuhi kriteria dan mencapai sasaran yang ditetapkan akan diberi ganjaran menerusi pengetua, guru besar dan guru-guru yang terlibat.
Ganjaran kewangan berasaskan prestasi itu adalah perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara ini. Beliau percaya, Tawaran Baru adalah idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.
Dalam instrumen Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), perkara yang dinilai antaranya adalah keberhasilan pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum termasuk disiplin pelajar secara keseluruhan. Selain itu, kepimpinan guru besar dan pengetua dalam pengurusan sekolah termasuk penyediaan pelan strategik sekolah, pemantauan sekolah dan pencapaian matlamat yang ditetapkan juga dinilai dalam SKPM. Kepimpinan guru besar dan pengetua yang berkesan akan menggerak kepada kecemerlangan sekolah secara menyeluruh.
sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment