Astro bina asrama di SK Sg. Paku
KAPIT 11 Jan. - Berulang alik ke sekolah sama ada dengan menaiki bot atau berjalan kaki kira-kira dua jam perjalanan adalah satu cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paku di sini, untuk menuntut ilmu.
Namun bermula penghujung Februari ini, segala cabaran berkenaan dijangka berakhir apabila projek pembinaan Hostel Astro yang merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) penyedia perkhidmatan televisyen berbayar utama negara, Astro, disiapkan.
Naib Presiden Hal Ehwal Komuniti Astro, David Yap berkata, projek Hostel Astro itu membabitkan tiga blok bangunan merangkumi asrama, dewan serbaguna, dapur memasak dan gelanggang serbaguna untuk aktiviti sukan para pelajar sekolah berkenaan.
Katanya, objektif utama projek berkenaan adalah untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa bagi didiami oleh pelajar SK Paku selain membuka lebih banyak ruang menempatkan kanak-kanak di kawasan sekitar.
"Kami percaya dengan kapasiti asramanya yang dinaik taraf dan program penglibatan yang menyeluruh dari pihak para sukarelawan, pelajar dan guru, SK Sungai Paku mampu untuk berfungsi sebagai hab pendidikan buat kanak-kanak yang tinggal di kampung sekitar kawasan ini.
"Selain itu, kita akan melengkapkan sekolah dengan pakej Astro Kampus termasuklah sebuah set televisyen LCD 32 inci, decoder TV satelit Astro dan akses tanpa had kepada 15 saluran iaitu enam saluran antarabangsa dan sembilan saluran pendidikan tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada upacara pecah tanah pembinaan projek Hostel Astro di SK Sungai Paku yang disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Tanah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Tan Sri Dr. James Masing semalam.
Sementara itu, Masing sewaktu mengulas projek berkenaan menyampaikan rasa terima kasih penduduk setempat kepada Astro di atas komitmennya dalam pembangunan masyarakat dan menasihatkan para pelajar SK Sungai Paku, guru dan ibu bapa supaya bekerjasama dengan sukarelawan daripada program Astro Kasih supaya projek tersebut dapat disiapkan dengan jayanya.
"Dengan adanya kemudahan seperti ini, Astro juga telah memberi peluang yang sama rata kepada mereka untuk berjaya seperti mana peluang yang sama telah diberikan kepada para pelajar di kawasan bandar.
"Kami percaya dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti ini, mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berkembang dengan lebih baik dan cemerlang dalam pelajaran," katanya.
Turut mengalu-alukan inisiatif berkenaan ialah Guru Besar SK Sungai Paku, Syaiful Annuar Mahjem yang memuji usaha Astro untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada para pelajarnya.
"Saya percaya blok sekolah yang baru ini dapat menggalakkan para pelajar untuk menghadiri sesi persekolahan selain menggalakkan ibu bapa di kawasan sekitar menghantar anak-anak mereka ke sekolah." katanya.
sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment