Scroll to top

Tuesday, July 5, 2011

Menjaga Kerukunan Hidup Bermasyarakat


Hadith:
DARI Abi Hurairah r.a katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : Janganlah kamu saling dengki-mendengki, janganlah kamu saling tipu-menipu, janganlah kamu saling belakang-membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.
Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya.
Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya.
Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.
Riwayat Muslim
Huraian Hadith:
Mengharungi kehidupan pada zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita akan struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik.
Sesungguhnya sebagai agama keamanan, Islam sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia. Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah seperti menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesama sendiri, menjaga maruah di dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh-menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda dan sebagainya daripada kecurian, rompakan pencerobohan dan lain-lain.
Sebagai seorang Muslim kita mestilah menghormati maruah individu Muslim yang lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain.
Antara sebab mengapa puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam adalah dek kerana sikap tidak ambil peduli yang berlaku antara sesama umat Islam hari ini.
Justeru musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka sedangkan Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka.
Namun malangnya mereka hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis ini tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.
Sebetulnya umat Islam harus hidup sepertimana yang disebut dalam pepatah Melayu cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya.
Dengan perkataan lain, jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga menikmati kebaikan itu.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(mStar)

Saturday, July 2, 2011

Martabat Bahasa Melayu Dan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Dewan Bahasa & Pustaka

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-7 dan terakhir ini menyelusuri peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan lebih 50 tahun lalu untuk memartabat bahasa kebangsaan ini.

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bagi mereka yang berkarier, apabila usia mencecah lebih setengah abad, mungkin sudah berjela pencapaian dan bakti yang dilakar dan disemai.

Sebahagian besar dengan senyum lebar pasrah meletakkan tanda noktah, lega untuk menarik tirai persaraan!

Bagi organisasi, ada yang mungkin lebih banyak merakam jejak yang terhalang berbanding kilau tinta kejayaan meskipun usia sudah menjangkau lebih setengah abad.

Mungkin ada pula seperti hidup segan mati tak mahu, laksana rumah terbiar usang dan bersawang.

Bagaimanapun, ini bukannya peri organisasi ini yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Baharu, Johor. Ia bermula sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran.

Di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 hingga 21 Sept 1956, kerajaan menerima cadangan menukar namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

DBP dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun pada 1959 dan diberi kuasa autonomi antaranya menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera.

TETAP RELEVAN

Sebagai satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab kepada pengembangan Bahasa Melayu, justeru meskipun usia DBP kini mencecah 55 tahun, ia tetap relevan dan kental menggalas misi asas penubuhannya.

Post Pilihan