Scroll to top

Saturday, July 2, 2011

Martabat Bahasa Melayu Dan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Dewan Bahasa & Pustaka

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-7 dan terakhir ini menyelusuri peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan lebih 50 tahun lalu untuk memartabat bahasa kebangsaan ini.

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bagi mereka yang berkarier, apabila usia mencecah lebih setengah abad, mungkin sudah berjela pencapaian dan bakti yang dilakar dan disemai.

Sebahagian besar dengan senyum lebar pasrah meletakkan tanda noktah, lega untuk menarik tirai persaraan!

Bagi organisasi, ada yang mungkin lebih banyak merakam jejak yang terhalang berbanding kilau tinta kejayaan meskipun usia sudah menjangkau lebih setengah abad.

Mungkin ada pula seperti hidup segan mati tak mahu, laksana rumah terbiar usang dan bersawang.

Bagaimanapun, ini bukannya peri organisasi ini yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Baharu, Johor. Ia bermula sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran.

Di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 hingga 21 Sept 1956, kerajaan menerima cadangan menukar namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

DBP dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun pada 1959 dan diberi kuasa autonomi antaranya menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera.

TETAP RELEVAN

Sebagai satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab kepada pengembangan Bahasa Melayu, justeru meskipun usia DBP kini mencecah 55 tahun, ia tetap relevan dan kental menggalas misi asas penubuhannya.

Peranan menobatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaa 1965/67 (Akta 32).

"Tugas ini kita teruskan sepanjang masa untuk mengisi keperluan dan asas penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka demi mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Pelbagai langkah diatur bagi memastikan Bahasa Melayu turut berfungsi sebagai pembentuk jati diri bangsa dan negara," demikian kata Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Jalan Dewan Bahasa di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran melalui DBP juga giat melaksanakan usaha membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan ini sehingga ia diterima sebagai bahasa kepunyaan bersama semua rakyat negara ini.

"Selagi bangsa Malaysia wujud, bahasa sebagai identiti bangsa perlu wujud," tambahnya.

MARTABAT BAHASA

Bahasa Melayu bukan sahaja lambang identiti negara ini tetapi selayaknya menjadi wahana penyatuan mereka yang bergelar warganegara Malaysia termasuk melalui komunikasi umum secara lisan atau tulisan.

Sepatutnyalah bentuk iklan, penamaan tempat, jalan, taman perumahan, pengumuman, arahan dan seumpanya yang dipamerkan di tempat awam dan di khalayak ramai menggunakan bahasa kebangsaan ini secara meluas.

Bagaimanapun, semua ini setakat tinggal "wajar dan sepatutnya".

Realitinya masih banyak ruang yang perlu diisi bagi memenuhi hasrat meletakkan Bahasa Melayu kepada satu martabat yang tinggi.

Ketua Pengarah DBP ini turut mengakui hakikat penggunaan bahasa kebangsaan yang semakin kurang dalam sektor swasta serta kecenderungan penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi di sektor awam.

Beliau yang menyifatkan keadaan itu "begitu membimbangkan" memberitahu bahawa pihaknya tetap meneruskan segala perancangan yang siap diatur untuk memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Harapan melihat Bahasa Melayu teguh dan terus berupaya bersaing dalam arus glokal dan global memerlukan usaha yang berterusan.

"Usaha secara bersepadu pelbagai pihak untuk maksud itu perlu telus agar matlamat yang disasarkan berhasil dengan jayanya," tegas beliau.

TIDAK BANGGA

"Rakyat Malaysia tidak bangga dengan bahasa kebangsaan mereka."

Berdesing telinga mendengar tetapi inilah kata-kata senada yang keluar daripada mulut sekumpulan pelajar Cina yang datang ke Malaysia untuk belajar Bahasa Melayu.

Mereka dilaporkan berada di Kuala Lumpur dan berkunjung ke Pulau Pinang dalam siri belajar ke negara ini.

"Mereka hairan mengapa rakyat negara ini tidak berbahasa Melayu. Mereka datang ke sini untuk belajar Bahasa Melayu tetapi orang bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris.

"Kalau orang luar memberi komen yang sedemikian bukankah memalukan kita? Mengapa kita tak bangga dengan bahasa kita sendiri? Tak bangga bermakna kita tak ada jati diri.

"Sebab itu saya terpaksa hantar pelajar-pelajar itu ke luar bandar untuk belajar Bahasa Melayu," katanya.

UBAH SIKAP

Ketua Pengarah DBP ini berkata rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu mesti mempunyai sikap rasa bangga berbahasa Melayu.

"Kalau dia mengaku orang Melayu dia patut bangga dengan Bangsa Melayu. Kalau tidak, sampai bila pun tak boleh jadi.

"Orang Melayu mesti menunjukkan contoh teladan yang dia bangga dengan bahasa ibundanya, barulah orang lain ikut. Saya tak faham kalau dia malu nak menggunakan Bahasa Melayu.

"Sama ada bahasa itu mempunyai nilai komersial atau tidak, adalah diri kita sendiri. Diri kita atau sikap kita yang menentukan sama ada bahasa itu ada nilai perdagangan, bukan orang lain," tegasnya.

Dengan nada yang penuh kesal beliau turut menegur sikap sesetengah ahli korporat Melayu yang menerajui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu.

"Saya tengok kenyataan akhbar dalam bahasa Inggeris, sidang akhbar dalam bahasa Inggeris. Bila bercakap terus bahasa Inggeris.

"Bercakap bahasa Inggeris macam air mengalir. Mengapa tak boleh berbahasa Melayu.

"Kalau mereka jadi juara untuk mengembang dan memperkasa Bahasa Melayu dari segi perdagangan dan perindustrian, barulah ada jati diri bangsa, barulah orang lain akan ikut tetapi kalau mereka tak nak berubah, orang lain juga tak akan berubah," tegasnya.

MAMPU BERKEMBANG

Ketua Pengarah DBP ini menegaskan mereka yang tahu tentang sejarah Bahasa Melayu tidak akan memandang rendah kepada bahasa ibunda itu.

Menurut beliau, meskipun Bahasa Melayu adalah yang terkecil kalau dari segi kepulauan Melayu iaitu dituturkan oleh orang Riau tetapi digunakan sejak kurun ke-13 sebagai bahasa antarabangsa di nusantara ini.

"Pada kurun ke-13 sudah ada kamus bahasa Cina-Bahasa Melayu, undang-undang laut negeri Melaka juga ditulis dalam Bahasa Melayu, orang putih juga menulis surat kepada Sultan Melayu dalam Bahasa Melayu, bukannya dalam bahasa Inggeris.

"Kalau Bahasa Melayu tidak mampu, bagaimana agama Islam, satu agama wahyu boleh diajar dalam Bahasa Melayu dan banyak buku ditulis dalam Bahasa Melayu.

"Kita sepatutnya merasa bangga dengan keadaan ini. Bahasa Melayu adalah bahasa yang terbesar digunakan untuk menyebarkan agama Islam," katanya.

Secara keseluruhannya Bahasa Melayu digunakan oleh hampir 300 juta penduduk di nusantara, justeru kata Termuzi, Bahasa Melayu mempunyai kemampuan besar untuk berkembang menjadi bahasa ilmu.

"Bahasa yang tidak berkembang akan mati," tegasnya sambil menambah bahawa sejak ditubuhkan, DBP menghasilkan lebih sejuta istilah untuk menampung keperluan dasar pelajaran negara yang mengubah semua sekolah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan pada 1971.

Lanjutan daripada perubahan dasar itu, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu termasuk dalam bidang perubatan, pergigian dan kejuruteraan.

MINAT ORANG ASING

Menurut beliau, orang luar sendiri tidak memandang rendah kepada Bahasa Melayu dan ini dapat dilihat daripada minat orang asing yang tinggi untuk belajar bahasa kebangsaan itu.

Sekarang ini terdapat 160 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia mempunyai program Bahasa Melayu atau Bahasa Melayu Indonesia.

Sebagai contoh, Termuzi memberitahu bahawa terdapat Jabatan Bahasa Melayu di Beijing Foreign University dan di Guangxi University di mana DBP meletakkan pegawainya untuk mengendalikan program Bahasa Melayu.

DBP turut meletakkan pegawainya bersama dengan seorang lagi dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) di China Radio International untuk mengendalikan program Bahasa Melayu selama dua jam sehari.

"Sebenarnya banyak permintaan, tapi sukar untuk kami hendak menghantar begitu ramai pegawai ke luar Negara," jelas Termuzi.

INSITIAF DBP

Dalam Rancangan Malaysia ke-10, DBP berazam untuk memperkasa Bahasa Melayu dengan matlamat memberikan maruah dan wibawa kepada Bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Termuzi menambah kata DBP turut berazam menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan tinggi.

Ini, katanya, akan dilakukan dengan memperbanyak penerbitan buku karya asli dan terjemahan (bahasa dan sastera) di samping membantu serta menggalakkan usaha menterjemah karya-karya sastera Melayu ke dalam bahasa-bahasa utama dunia.

Tidak mahu ketinggalan dengan arus pesat kemajuan, DBP berjaya menghasilkan prasarana menggunakan teknolgi canggih bagi membantu dan memudahkan usaha penyelidikan serta kajian Bahasa Melayu.

Menurut Ketua Pengarah DBP, pihaknya telah membangunkan Sistem Pangkalan Data Korpus Bahasa Melayu.

"Data Bank Bahasa Melayu ini menghimpunkan sejumlah 115 juta patah perkataan daripada pelbagai teks.

"Kita kumpulkan ini untuk menerbitkan satu kamus besar Bahasa Melayu dan setakat ini hampir 80 peratus siap.

"Dalam kamus besar ini juga kita akan beritahu asal usul dan sejarah perkataan, ejaan serta bagaimana hendak membunyikannya berdasarkan (sistem fonetik)," jelas Termuzi.

PELBAGAI KHIDMAT

Dalam masa yang sama, beliau memberitahu bahawa penyebaran maklumat bahasa juga penting untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.

Sehubungan dengan itu, DBP katanya, telah mempertingkat mutu khidmat "maklumat di hujung jari", di mana orang ramai boleh mendapatkan Khidmat Nasihat Bahasa dengan melayari laman web DBP www.dbp.gov.my

Antara khidmat yang dibangunkan khusus untuk menangani masalah kekeliruan bahasa ialah Khidmat PRPM iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang boleh dilayari secara percuma.

DBP turut mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Penulis-Penulis Cina untuk menarik minat mereka juga mengembangkan Bbahasa Melayu.

"Kita tidak boleh meminggirkan orang bukan Melayu untuk memperkembangkan Bahasa Melayu.

"Kita adakan aktiviti yang membabitkan orang Cina dan India. Sebagai contoh kita ada Festival Bahasa di semua sekolah rendah Cina dan ini kita telah buat sejak beberapa tahun lalu dan sambutan amat menggalakkan," jelasnya.

DBP turut mengambil inisiatif melatih guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah menengah persendirian Cina bermula tahun lepas yang dibuat secara percuma.

PELIHARA BAHASA

Termuzi memberitahu bahawa kerajaan serius untuk memastikan kemurnian martabat Bahasa Melayu terus terpelihara.

Ini dilihat menerusi penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan akhir tahun lepas dengan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyifatkan penubuhan jawatankuasa ini akan mempunyai impak yang besar berdasarkan kepada keanggotaan jawatankuasanya.

Anggota jawatankuasa terdiri daripada ketua setiausaha daripada enam kementerian, pakar bahasa termasuk Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penterjemahan Malaysia di samping Dewan-Dewan Perniagaan Cina dan India.

Di bawah jawatankuasa induk ini terdapat enam jawatankuasa kecil pelaksana iaitu Jawatankuasa-jawatankuasa Struktur Pendidikan, Kewangan, Pihak Berkuasa Tempatan, Kepenggunaan dan Perkhidmatan Awam.

Jawatankuasa Struktur Kewangan, sebagai contoh, dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, urusetianya Bank Negara sementara anggotanya terdiri daripada institut kewangan, insurans dan perbankan.

"Tanggungjawab jawatankuasa ini melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor kewangan, perbankan dan insurans. Bagaimanapun jika ada keperluan, umpamanya perjanjian, boleh dibuat dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

"Jawatankuasa ini memang bergerak. Mereka telah mengadakan pegawai bahasa di setiap bank, mengadakan borang-borang dalam dua bahasa, iklan juga dalam dua bahasa tetapi diutamakan Bahasa Melayu," katanya.

TINGKAT PENGGUNAAN

Satu lagi jawatankuasa yang diharap dapat melonjakkan penggunaan Bahasa Melayu ialah Perkhidmatan Awam di mana antara yang telah dibuat ialah mesyuarat dengan 146 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Memang setiap PBT ada undang-undang kecil mesti menggunakan bahasa kebangsaan umpamanya untuk nama jalan, perumahan dan papan iklan tetapi ini tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Mereka bersetuju untuk melaksanakannya tetapi ini tak bermakna menyekat penggunaan bahasa asing. Untuk papan iklan umpamanya bahasa asing boleh digunakan dengan syarat bahasa kebangsaan itu dua pertiga lebih besar daripada bahasa asing," jelas Termuzi.

DBP turut mengambil inisiatif memantau papan iklan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan akan mengemukakan laporan kepada DBKL jika mendapati ada iklan yang tidak mematuhi peraturan Bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, DBP juga mengadakan kerjasama dengan semua PBT untuk melaksanakan identiti negara ini melalui papan-papan iklan, nama-nama kawasan perumahan dan jalan.

Untuk rekod, DBP telah menerbitkan buku panduan nama perumahan dan jalan untuk dirujuk. Ia juga terdapat dalam laman web DBP.

KELULUSAN DBP

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) umpamanya telah membuat peraturan mewajibkan semua iklan, papan tanda dan nama perumahan mesti mendapat kelulusan DBP dari segi bahasa dan visualnya.

Setiap satu iklan itu hanya boleh diberi lesen dan dinaikkan setelah mendapat kelulusan DBP.

DBKL turut menguatkuasakan permohonan papan iklan secara dalam talian berkuatkuasa 1 Jun.

"Pemohon akan menghantar visual iklan mereka dengan mengakses portal khas untuk pengiklan di laman web kami untuk mendapatkan kelulusan. Mereka yang lulus akan diberi kod dan kod ini dibawa kepada DBKL.

"DBKL akan membuka portal khas di laman web kami untuk mengesahkan kod lulus sebelum mengeluarkan lesen dan yang lulus akan diberi kod," jelas Ketua Pengarah DBP ini lagi.

Dalam bidang penyiaran, DBP mengadakan pertemuan dengan semua stesen radio dan televisyen untuk memastikan bahasa yang betul digunakan.

"Ada juga yang membangkitkan isu bahasa SMS (Khidmat Pesanan Ringkas). Bahasa ini bukan Bahasa Melayu rasmi, ia lebih bahasa peribadi cuma terkesan bila ia disiarkan di televisyen.

"DBP telah mengeluarkan daftar panduan bahasa SMS yang boleh diakses di laman web kami, cuma ia tidak digunakan," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Labels

Berita Pendidikan (135) Berita Pilihan MPKB 90/93 (47) Artikel Pilihan (35) Makluman Terkini (35) Petikan Akhbar (35) Berita Dalam Negara (34) Petikan Akhbar dari Sinar Harian Online (31) Artikel Islam (29) Berita Guru (28) Artikel Ilmuan Islam (26) Berita Sosial (23) Artikel Pendidikan (19) Artikel Ibadat (18) Ulasan Berita (18) Gambar Menarik (15) Artikel Pedoman (14) Berita Piala Dunia (14) Semak Tawaran/Permohonan (14) Berita Ekonomi (13) Berita Luar Negara (13) Berita MH370 (13) Petikan Akhbar dari Astro Awani (13) Petikan Akhbar dari UTUSAN Online (13) Permohonan Akademik (12) Berita Politik (11) Berita Semasa (11) Petikan Akhbar dari BH Online (10) Berita Agama (9) Berita Permotoran (7) Catatan Peribadi (7) Artikel dari UTUSAN Online (6) Berita Kemalangan (6) Berita Pekerja (6) Petikan Akhbar dari mStar Online (6) Artikel Ekonomi (5) Artikel IT (5) Berita Ibadah Haji (5) Huraian Hadis (5) Rencana Akhbar Online Pilihan (5) Artikel dari Kosmo! Online (4) Artikel dari Penulis Popular (4) Artikel dari myMetro (4) Berita Pemimpin Negara (4) Berita Perkhidmatan Awam (4) Berita Sukan (4) Pendapat (4) Petikan Akhbar dari Kosmo! Online (4) Petikan Akhbar dari The Malaysian Insider (4) Berita Artis (3) Berita Konflik Negara Islam (3) Berita Pelaksanaan Hudud (3) Berita Perundangan (3) Berita Teknologi Baru (3) Hari Raya (3) Petikan Akhbar dari Harakahdaily (3) Petikan Akhbar dari Malaysiakini (3) Artikel Bahasa (2) Artikel Dekorasi (2) Artikel Penulis Terkenal (2) Artikel Seni Islam (2) Artikel Teknologi (2) Artikel oleh Tokoh Ulama Tempatan (2) Berita Alam Sekitar (2) Berita Bajet Negara (2) Berita Cuaca (2) Berita Halalnya Produk (2) Berita Institusi Raja (2) Berita Jenayah (2) Berita Pemimpin Luar Negara (2) Berita Penderitaan Rakyat Palestin (2) Berita Roda (2) Berita Sensiviti Agama Islam (2) Churp Churp (2) Dasar / Konsep (2) Keputusan Peperiksaan Awam (2) Lagu Motivasi (2) Maulidur Rasul SAW (2) Mutiara Kata (2) Permotoran (2) Petikan Akhbar Online (2) Petikan Akhbar dari myMetro (2) Rencana Pendidikan (2) Rencana Penulis Terkenal (2) Software Piala Dunia 2010 (2) Takwim (2) Tema (2) Abdul Nasser b. Abdul Majeed (1) Ahmad Mohzir Abu Bakar (1) Aktiviti Luar PM 3 (1) Amin dan Gambar2 drpd Pesisir (1) Artikel Berkaitan MH370 (1) Artikel Budaya Masakini (1) Artikel Dunia Siber (1) Artikel Kerjaya (1) Artikel Kesihatan (1) Artikel Pelaksanaan Hudud (1) Artikel Pemakanan Sihat (1) Artikel Perjuangan Rakyat Palestin (1) Artikel Perundangan (1) Artikel Sarjana Tempatan (1) Artikel Sastera (1) Artikel Sukan (1) Artikel Ulama Tanahair (1) Artikel dari Buletinonline.net (1) Artikel dari Harakah (1) Artikel dari MyIbrah.com (1) Artikel dari Sinar Harian Online (1) Artikel dari Warga Kampus (1) Artikel oleh Tokoh Wartawan Tempatan (1) Azmi bin Sulaiman (1) Berita Bola Sepak (1) Berita Bukan Islam Biadab (1) Berita Dunia Siber (1) Berita Ibadah Puasa (1) Berita Insan Istimewa (1) Berita Institusi Pondok (1) Berita Kampus (1) Berita Kejadian Mengejut (1) Berita Keluarga Malang (1) Berita Kesan Negatif Internet (1) Berita Keselamatan Kanak-Kanak (1) Berita Pelajar Cemerlang (1) Berita Pelaksanaan GST (1) Berita Pelik (1) Berita Perubatan (1) Berita Sambutan Kemerdekaan Negara (1) Berita Sultan Perak (1) Berita Tanah Haram (1) Berita dari BERNAMA (1) Bersama Aminuddin dan Keluarga (1) Di Rumah Khishamuddin (1) Di Rumah Nasser Mamak (1) Festival Hari Guru 2010 (1) Forum (1) Free Viral (1) Gambar Pilihan (1) Internet Sumber Pendapatan Tambahan (1) Jadual Gaji (1) Jadual peperiksaan awam (1) Jalaluddin Ayai (1) Jalaluddin Ayai Isteri Anak2 Biz (1) Kempen Anti Israel (1) Keratan Akhbar (1) Keratan Akhbar Online (1) Khutbah Jumaat (1) Lawatan En Khishamudin ke MPKB (1) MPKB ke IPGMKKB (1) Manan Md Zain (1) Masjid Pilihan (1) Nasser dan Khishamudin (1) Nostalgia Khishamudin (1) PBSM Dalam Kenangan (1) PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025 (1) PM3 Dlm Kenangan (1) PRK DUN Balingian (1) PRK DUN Kajang (1) Pedoman (1) Pendapat dan Teori Penulis Hebat (1) Petikan Akhbar Sukan Star TV (1) Petikan Akhbar dari Indahnya Islam (1) Petikan Akhbar dari islamedia (1) Program Perguruan (1) Promosi Pendidikan (1) Puan Azlina Haron (1) Rencana Kesihatan (1) Rencana Tentang Guru (1) Rencana Tentang MH370 (1) Rencana dari Harakahdaily (1) Rohana Jusoh Rosli Zuraida dan Hayati (1) Rohana binti Jusoh (1) Segmen Blogger (1) Selamat Hari Raya (1) Siti Norbaya Abd Majid (1) Soal Jawab Agama (1) Sumbangan Ikhlas (1) Surat Siaran / Pekeliling (1) Suriani binti Ariffin (1) Tokoh (1) Ucapan Hari Guru (1) Ucapan Raya (1) Video Tazkirah (1) Video Tema Piala Dunia 2010 (1) XPDC PM 1 1992 (1) Zainal b. Nordin (1) a (1)

Blog Archive

www.e-referrer.com