PUTRAJAYA 4 Ogos - Kementerian Pelajaran sedia mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa teknikal terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pakar-pakar berkaitan masalah sosial, akan meneliti cadangan itu sebelum keputusan mengenainya dibuat.
Katanya sebelum ini, program perintis PKRS dilaksanakan di lima sekolah menengah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan serta Pahang sebagai kokurikulum sekolah.
"Sama ada (PKRS) ini kekal sebagai kokurikulum atau diserapkan dalam silibus akademik (kurikulum) sedia ada, misalnya dalam mata pelajaran biologi atau sains, kita akan buat penelitian.
"Di peringkat awal ini, kita tidak dapat putuskan apa yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment