LUARANNYA sahaja sudah tampil elegan. Imej terkini komputer riba keluaran Asus yang diinspirasikan alam semula jadi bagi siri-U adalah pakej lengkap untuk gaya, persembahan dan keperluan masa kini.
Mempamerkan reka bentuk menawan lagi sofistikated, ia amat sesuai bagi mereka yang mementingkan kualiti dan cita rasa. Perincian reka bentuknya ideal untuk dipadan bersama ciri penampilan pemiliknya.
Kehebatan siri-U iaitu Asus U43JC dan Asus U33JC dapat dirasakan pada saat pertama memegang komputer riba pintar ini. Penggunaan buluh sebagai kemasan luaran memberikan sentuhan organik yang natural dan selesa.
Papan kekuncinya yang menggunakan aluminium tebal pula begitu mulus dan memberi sokongan kuat untuk keselesaan menaip, manakala kamera web bina dalam dapat dihidup dan ditutup hanya dengan satu sentuhan lembut.
Teknologi pintar yang melengkapi siri-U membolehkan ia menukar mod VGA dan UMA secara automatik, bergantung kepada tugasan pengguna, sekali gus meningkatkan persembahan dan hayat bateri.
Tidak seperti kebanyakan komputer riba, siri-U dilengkapi USB 3.0 yang mempercepatkan penghantaran data sehingga sepuluh kali ganda berbanding USB 2.0. Pengguna juga dapat menjimatkan sehingga satu jam untuk mengecas iPhone melaluinya.
Kelebihan USB 3.0 juga membolehkan fail wayang Blue-ray seberat 25 gigabit mengambil masa kira-kira 70 saat sahaja untuk dihantar, berbanding 840 saat apabila menggunakan USB 2.0.
Sebagaimana enjin kereta hibrid, enjin hibrid super secara efektif menggunakan kuasa elektrik secara optimum dengan menyesuaikan bekalan tenaga untuk dipadankan dengan keperluan dan tugasan pengguna.
Penyesuaiannya termasuk ke atas BIOS untuk penjimatan tenaga, CPU untuk mod frekuensi rendah serta menyesuaikan frekuensi GPU terbina dalam dan DDR3 ke tahap optimum.
Komputer riba pintar ini juga menyimpan gambar, video, muzik, dokumen, e-mel dan sebagainya dalam bentuk sync bagi memudahkan pencarian data-data.
sumber : Kosmo Online
No comments:
Post a Comment