Hak OKU tidak dihormati
KAMI telah letak tanda dan papan kenyataan menasihati orang ramai tentang petak parkir yang dikhaskan bagi orang kurang upaya. Tetapi hanya segelintir sahaja yang ikut (nasihat).
"Pengawal keselamatan kami tidak punya masa hanya semata-mata untuk mengawal petak-petak tempat ini. Kami hanya harap masyarakat tahu mengenai hak-hak orang kurang upaya (OKU). Langkah terakhir kami ke atas pemandu yang degil adalah mengunci roda kenderaan mereka," kata seorang pegawai pengurusan di sebuah pasar raya di Rawang dekat sini.
Pegawai berkenaan memberikan jawapan tersebut apabila ditanya kenapa pihak pengurusan pasar raya berkenaan membenarkan kereta yang dipandu oleh mereka yang normal tubuh badan di letak di petak-petak khas OKU.
Penulis yang juga OKU dan dibantu oleh seorang teman kemudian membuat tinjauan di ibu kota sama ada salah guna petak letak kereta OKU wujud di premis lain.
Sebuah pusat membeli-belah di The Curve, Mutiara Damansara di Petaling Jaya meletakkan amaran bahawa kenderaan yang menyalahguna petak untuk OKU akan dikunci rodanya.
Roda kereta yang tidak mempunyai pelekat 'pemandu cacat' akan dikunci oleh pihak pengurusan pusat berkenaan jika kenderaan itu didapati dalam petak yang dikhaskan untuk pemandu cacat.
Di Bandar Utama, Petaling Jaya, pengurusan sebuah pusat beli-belah menugaskan pengawal keselamatan meronda di kawasan petak-petak letak kereta OKU. Keadaan yang sama juga berlaku di sebuah pasar raya di Kota Damansara.
Sebuah pusat perubatan di ibu kota juga memberikan khidmat yang serupa.
Atendan menjaga tempat letak kereta akan melakukan rondaan dan bagi pemandu yang menyalahguna petak-petak ini akan dikenakan denda bila roda kenderaan mereka dikunci.
Sikap masyarakat
Seorang warga kurang upaya Mary Anthony (bukan nama sebenar) mempunyai penyakit tulang yang menyebabkan beliau 'tempang'. Beliau yang juga mempunyai anak istimewa adalah antara mereka yang merungut tentang segelintir anggota masyarakat yang masih tidak peka terhadap hak-hak OKU.
Kata Mary: "Saya ada anak lelaki berumur lima tahun yang mempunyai sindrom down. Sejak beberapa tahun lepas, saya rasa begitu kecewa bila saya lihat orang yang cukup sifat menyalahguna kemudahan yang dikhaskan bagi OKU.
"Satu hari saya bertanyakan seorang pemandu yang meninggalkan kenderaannya di petak OKU tetapi jawapannya cukup mengecewakan. Beliau hanya mengangkat bahunya dan menjawab beliau ke situ hanya untuk beberapa minit sahaja.
"Sekurang-kurangnya dia ada memberi respons. Yang lain hanya akan merenung saya dengan tajamnya dan berlalu begitu sahaja.
"Lagak sedemikian sudah cukup memberitahu bahawa mereka tidak peduli tentang hak-hak bagi OKU.
"Kemudian setelah saya (dan anak) siap membeli barang, kami dapati kereta tadi masih diletak di situ," katanya dengan nada kecewa.
Warga OKU seperti Mary merasakan hak mereka tidak dihiraukan dan mereka dianggap sebagai warga kelas kedua oleh sebahagian daripada masyarakat negara ini yang kononnya dikatakan masyarakat yang penuh dengan budi bahasa dan amalan mulia.
Kata Mary, kadangkala beliau rasa jengkel untuk pergi ke tempat awam.
"Ada orang yang merenung saya, seolah-olah saya ni raksasa atau makhluk asing dari planet lain. Ia cukup pahit dan pedih bila dilayan seolah-olah sebagai rakyat kelas kedua di negara sendiri," kata beliau.
sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment