Dokumen yang digunakan pelajar untuk mengutip derma daripada orang ramai.
BUKIT TINGGI - Tindakan pelajar sekolah mengutip derma bagi sumbangan untuk melancarkan sesebuah program di sekolah hanya mencemarkan nama pihak sekolah dan kementerian bertanggungjawab.
Presiden Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail berkata, kementerian harus siasat perkara ini yang dilihat mendatangkan bebanan kepada pelajar terlibat.
“Pelajar dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu bagaimanapun mereka diguna pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mengutip derma daripada orang ramai.
“Perkara ini dilihat tidak bersesuaian kerana ia hanya mendatangkan imej yang buruk kepada pelajar, pihak sekolah dan kementerian,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ramai ibu bapa pelajar merungut perkara itu yang mana anak mereka merayau ke sana sini mengutip derma dari orang ramai.
“Selagi belum capai jumlah sasaran, selagi itu mereka berusaha. Ia membebankan pelajar memandangkan mereka masih kecil yang tidak tahu apa-apa.
“Bila ditanya mereka beritahu cikgu sekolah yang suruh kutip bagi derma sukaneka,” katanya.
Katanya, beliau yang mewakili ibu bapa pelajar minta pihak sekolah hentikan aktiviti kutip derma ini.
“Saya dapat tahu bukan sekolah berkenaan sahaja bertindak sedemikian malah banyak lagi sekolah lain di negeri ini yang buat benda yang sama,” katanya.
No comments:
Post a Comment