Maradona mahu berundur
BUENOS AIRES - Jurulatih Argentina, Diego Maradona kelmarin menyatakan bahawa 'babak dirinya sudah berakhir'.
Kata-kata Maradona itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dan rakan rapat legenda tersebut, yang memberitahu Reuters bahawa dia masih belum mahu bersara.
"Ia telah selesai. Babak diri saya sudah berakhir. Saya telah memberi segala yang dimiliki," kata Maradona yang dipetik daripada sebuah akhbar, Cronica.
Maradona berkata demikian dua hari selepas Argentina dimalukan oleh Jerman, menerusi kekalahan 0-4 di suku akhir Piala Dunia.
Jurucakap AFA berkata, Maradona secara rasminya masih belum bersara dan Presiden AFA, Julio Grondona, mungkin akan bertemu dengannya selepas berakhirnya Piala Dunia.
Sementara itu, seorang sahabat karib Maradona memberitahu Reuters: "Saya masih belum dapat mengesahkan perkara ini.
"Isu perletakan jawatan adalah perkara yang masih dibincangkan," kata kawan rapat Maradona.
Tambahnya, keputusan yang dibuat Maradona mungkin akan diumumkan pada satu sidang akhbar.
Meskipun begitu, rakan rapat legenda bola sepak dunia itu tidak menyatakan bilakah sidang akhbar itu akan dibuat.
"Diego (Maradona) ketika ini berada di rumah bersama ahli keluarganya. Mereka melakukan perbincangan berhubung perkara tersebut," katanya.
Dalam pada itu, pembantu Maradona yang juga bekas rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Alejandro Mancuso berkata, dia yakin Maradona mungkin akan meneruskan tugasnya sebagai jurulatih Argentina. - Reuters
No comments:
Post a Comment