Sebagai guru yang telah agak lama mengajar terasa pula tekanan bila semakin banyak perubahan yang dialami oleh sistem pendidikan kini berbanding pada mula-mula mengajar dahulu. Pada mula-mula mengajar dahulu segala urusan surat menyurat dan urusan perkhidmatan dibuat secara manual dan sistem komputer masih tidak menyeluruh lagi dan rangkaian internet tentulah tidak dapat dibayangkan langsung kepentingannya.
Masa yang cepat berlalu membawa bersamanya perubahan yang cepat dari segi teknologi dan perkara ini tidak terkecuali terpaksa dialami oleh bidang pendidikan. Guru yang terlibat secara langsung dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) perlulah juga mengikuti perkembangan zaman yang kini sepenuhnya telah menggunakan teknologi maklumat (IT) dalam semua aspek samada kurikulum, dasar, ko kurikulum, maklumat murid dan juga pengurusan sekolah. Guru yang buta IT akan ketinggalan malah mereka akan terasa tertekan dengan perkembangan yang pantas ini kerana sikap malas belajar dan sikap tidak mahu berubah mengikut perkembangan semasa.
Maklumat di hujung jari menjadi tag line yang popular masa kini kerana maklumat dapat kita akses secara cepat tidak kira di mana sahaja kerana rangkaian jalur lebar telah menelusuri ceruk-ceruk desa selepas semua kawasan bandar sudah lama ada rangkaian intenet. Boleh dikatakan semua sekolah di negara kita ada dibekalkan dengan rangkaian internet mengikut pembekal yang dipilih oleh kerajaan.
Guru yang proaktif akan sentiasa menyahut peluang yang diberikan oleh pihak atasan untuk membuat perubahan dalam sistem pendidikan kita ke arah penggunaan IT secara menyeluruh sehingga tiada lagi rakyat Malaysia yang buta IT. PDP akan menjadi lebih menarik dan menyeronokkan jika guru dapat menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan seterusnya dapat melahirkan murid yang berpengetahuan tinggi dan bermaklumat.
No comments:
Post a Comment