Hadith:
DARI Khaitsamah r.a katanya: "Ketika kami sedang duduk (belajar) dengan Abdullah bin Umar tiba-tiba datang bendaharanya, lalu dia masuk ke dalam majlis.
Kata Abdullah kepadanya:"Sudahkah kamu memberi makan kepada para hamba sahaya? Jawab bendahara:"Belum tuanku!
"Kata Abdullah selanjutnya:"Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:"Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) terhadap orang yang menjadi tanggungjawabnya."
Riwayat al-Bukhari
Huraian Hadith:
1. Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT di mana kedatangan Islam telah berjaya menghapuskan perhambaan dengan cara yang sangat halus.
Islam tidak terus melarang perhambaan, tetapi Islam menghapuskan amalan hamba abdi ini secara beransur-ansur. Banyak hadith Rasulullah SAW yang berkaitan dengan amalan perhambaan; ada amalan-amalan yang dikaitkan pahalanya sama seperti membebaskan hamba abdi dan ada denda-denda terhadap sesuatu perbuatan yang melibatkan pembebasan hamba abdi.
2. Pada zaman ini perhambaan tidak lagi wujud. Ini bermakna bahawa perhambaan sudah dimansuhkan oleh dunia seluruhnya. Tiada manusia yang boleh memperhambakan sesiapa juga dalam kehidupan mereka termasuk pembantu rumah, pekerja serta mereka yang lemah.
3. Memberi peluang pekerjaan kepada manusia lain untuk mencari rezeki tanpa menjatuhkan martabat kemanusiaannya adalah perkara yang dituntut oleh Islam. Malah Islam menetapkan bahawa di antara majikan dan pekerja terdapat batas-batas yang tertentu yang harus dijaga.
Majikan tidak boleh menganiaya para pekerjanya manakala pekerja tidak boleh bersikap buruk terhadap majikan. Masing-masing mestilah mempunyai rasa tanggungjawab, bertolak-ansur, baik sangka dan tolong menolong.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment