Oleh Ghafani Awang Teh (Kesuma), Panel Penulis Jakim
Berwuduk, khusyuk dalam sembahyang amalan terbaik tingkat kemampuan fizikal, mental
ISLAM menggalakkan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat. Allah mengingatkan manusia supaya jangan berlebihan dalam makan dan minum selari penemuan ilmu perubatan bahawa 90 peratus penyakit manusia berpunca daripada usus yang menjadi tempat menampung makanan.
Selain berhati-hati dalam pemakanan, manusia juga perlu mengamalkan riadah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 'Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.' (Hadis riwayat Muslim)
Secara umumnya, ilmu kesihatan mengesahkan bahawa manusia perlu menjalankan latihan jasmani sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit untuk satu sesi. Apa yang nyata Islam adalah agama sahih dan mementingkan gaya hidup sihat.
Allah memerintahkan umatnya melaksanakan ibadah khusus seperti berwuduk, bersolat, berpuasa dan berzakat sebenarnya mempunyai matlamat serampang tiga mata. Pertama, untuk kesihatan jasmani, kedua bagi menjaga kesejahteraan rohani dan ketiga, menjaga kebersihan persekitaran.
Bagaimanapun, solat dianggap ibadah khusus paling penting membimbing manusia menjalani gaya hidup sihat. Persoalan besar timbul ialah solat yang bagaimana mampu memacu manusia membentuk gaya hidup sihat.
Sebelum mendirikan solat, umat Islam diwajibkan bersuci dengan cara berwuduk. Amalan berwuduk diwajibkan sekurang-kurang lima kali sehari sebenarnya mendisiplinkan umatnya menjaga kebersihan secara teratur dan tetap. Berwuduk membabitkan pembersihan anggota badan tertentu.
Dari segi zahir, berwuduk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau dalam rongga. Di samping itu, amalan bersuci dan kaedah pembersihan najis dalam Islam adalah memastikan persekitaran dijamin bersih.
Dari segi batin pula, amalan berwuduk membersihkan hati, menghapuskan dosa, mengawal tekanan dan memberi ketenangan jiwa kepada seseorang. Betapa besar faedah berwuduk itu, maka wuduk sewajarnya diambil dengan sempurna.
Solat adalah amalan umat Islam menghadap atau menyembah Allah SWT secara langsung tanpa ada perantaraan manusia. Solat adalah bentuk penyembahan tertinggi umat Islam kepada Allah yang bersifat Maha Kuasa, Maha Kaya dan Maha Tinggi di dunia dan akhirat.
Nilai kemuliaan seseorang manusia kepada Allah SWT tidak hanya diukur daripada berapa kali melakukan solat dalam sehari melainkan sejauh mana umat Islam memahami makna yang terkandung dalam solat itu. Persoalan besar timbul ialah solat yang bagaimana mampu memberi kesihatan fizikal dan mental kepada manusia.
Solat membabitkan pergerakan fizikal dan tumpuan minda kepada Allah SWT bermula daripada qiyam, takbiratulihram, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, memberi salam, bertoma’ninah dan disertai dengan bacaan. Semua pergerakan fizikal dalam solat mempunyai rahsia tersendiri.
Malah, ketika melakukan rukuk dan sujud disunatkan dipanjangkan masanya. Ini menunjukkan solat tidak boleh dibuat sambil lewa, tetapi hendaklah mengikut adab dan standard piawaian ditetapkan. Bagi mereka yang menghadap dengan tertib dan beradab, sudah tentu akan memperoleh kepuasan serta ketenangan.
Allah SWT memberi peringatan bahawa orang mukmin yang berjaya ialah mereka yang khusyuk berhadapan dengan Allah SWT ketika menunaikan solat.
Solat yang khusyuk boleh dicapai dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, berhati-hati, ikhlas, memahami roh pergerakan dalam solat, memahami ayat dan zikir yang dibaca, solat di awal waktu, tempat solat dan pakaian bersih daripada sebarang najis serta digalakkan berjemaah.
Selain diwajibkan solat lima waktu, umat Islam juga digalakkan mengamalkan solat sunat. Antara solat sunat yang mencabar prestasi keikhlasan umat Islam ialah solat Tahajjud (solat lewat malam).
Beberapa kajian dibuat mengenai fadilat solat kepada manusia membuktikan pergerakan dalam solat dan tumpuan khusyuk berkeupayaan membawa kerehatan kepada anggota badan, memberi kestabilan dalam pernafasan dan denyutan jantung, mengurangkan tekanan serta mengekalkan kebersihan diri pada setiap waktu.
Solat yang khusyuk bukan saja memberi kesan baik hubungan kita dengan Allah SWT, tetapi berupaya membentuk kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan keperibadian umat Islam yang unggul.
Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
sumber: JAKIM
No comments:
Post a Comment